Adab Belajar : Berguru

Sehingga kini, penulis masih terbayang-bayang wajah putih bersih Allahyarham Tuan Guru Abdul Rahman (digelar Wak Man), guru agama pertama dalam hidup penulis. Beliau merupakan seorang guru yang sangat tinggi ilmunya iaitu sekembali beliau dari bermusafir di Mekah, Madinah, Pulau Sumatera Indonesia, Wilayah Pattani Thailand, India, Pakistan dan banyak lagi. Walaupun sistem pendidikan agama di Kelantan tidak dilaksana secara formal, penulis merasa bertuah kerana masih dapat berguru dengan beliau. Setiap hari selepas selesai sesi persekolahan formal, penulis akan belajar mengaji Al-Quran, Tajwid, Fiqah, Tauhid, Munakahad (ehm... best), Sirah dan lain-lain bidang. Apa yang menarik ialah beliau merupakan guru agama kepada nenek, ibu dan seterusnya diri penulis sendiri - guru untuk tiga generasi! Beliau pernah berkata, "Bila kita belajar, kita kena berguru, walaupun kita ada buku atau kitabnya". Ini kerana guru itulah yang akan menyempurnakan sesuatu ilmu yang kita pelajari. Justeru bagi mengakui hakikat ini, maka hari ini penulis telah menghadirkan diri ke Bengkel Pembangunan Blog. Semoga ilmu yang diperolehi akan dapat dimanafaatkan. Kepada Cikgu Harris Fadzillah, terima kasih banyak-banyak. Kepada Allahyarham Wak Man, Al-Fatihah disedekahkan!

Sepatu Putih

Kini, hampir dua bulan anak penulis (dan kanak-kanak lain yang sebaya) telah menjalani sesi persekolahan sebenar. Ada banyak perkara yang berlaku di sepanjang tempoh tersebut. Sebagaimana diketahui semua, mereka perlu memakai baju putih, tudung putih, seluar/kain sarung biru gelap, kasut putih serta stokin putih. Dengan perangai dan karenah mereka pada umur sedemikian, tentunya pergerakan mereka agak aktif. Berlari, bermain, beratur, bahkan mungkin berebut-rebut untuk membeli makanan di kantin. Keadaan ini semuanya mengundang suasana kelam kabut, termasuklah berkemungkinan pakaian mereka menjadi kotor. Apa yang penulis perhatikan pada anak penulis sendiri, mereka masih belum tahu mengawal dirinya dalam aspek kebersihan. Penulis merasa sangat terkejut dengan kasutnya yang hampir-hampir bertukar warna. Dalam hal ini, eloklah jika pihak berwajib memikirkan semula apakah warna putih untuk kasut sekolah di sekolah rendah adalah sesuai atau tidak. Penulis berpendapat bahawa kasut berwarna hitam adalah lebih sesuai di peringkat sekolah rendah. Memanglah strategi kasut putih adalah untuk mendidik mereka agar menjaga kebersihan, tetapi biarlah pendekatan itu sesuai. Di peringkat sekolah rendah, gunalah kasut hitam, bila di peringkat menengah, gunalah kasut putih. Kalau ini dapat dilaksanakan, tentulah kita tidak akan berapa letih di hujung minggu - menyental kasut putih yang sudah bertukar rupa!

Khutbah Lesu

Beberapa hari yang lepas, penulis menghadiri solat jemaah Jumaat di sebuah masjid di pinggir Bandaraya Johor Bahru. Selain dapat mendengar isi kandungan khutbah yang disampaikan; penulis tertanya-tanya mengapakah tiada usaha dilakukan untuk mengoptimumkan penyampaian khutbah agar lebih berkesan. Khutbah yang disampaikan tampak lesu dan tidak bermaya. Intonasi suara yang digunakan khatib sangat tidak merangsangkan jemaah yang hadir. Keadaan ini telah mendorong para jemaah untuk gagal memberi fokus kepada isi kandungan khutbah yang disampaikan (a.k.a TIDUR). Memang kita akui bahawa ramai dari kalangan khatib-khatib yang sedang berkhidmat terdiri daripada golongan "lama". Tetapi itu bukanlah menjadi persoalan utama. jabatan agama hendaklah berusaha meningkatkan kebolehan khatib-khatib tersebut khususnya dalam kaedah penyampaian. Jika perlu, jemput mereka menghadiri kursus-kursus pengucapan awam berkesan. Kalau perkara ini dapat direalisasikan, penulis percaya bahawa para jemaah tidak akan lalai hingga terlepas isi-isi penting pada setiap kali khutbah disampaikan. Di samping itu, pihak masjid perlulah bersedia untuk menggunakan teknologi terkini dalam penyampaian khutbah mereka. Penggunaan komputer riba di atas mimbar, slaid persembahan menggunakan Microsoft Powerpoint, tayangan menerusi projektor, serta sistem siaraya yang jelas; tentunya dapat menyumbang lagi kepada keberkesanan penyampaian khutbah-khutbah. Peluang menyampaikan ilmu menerusi khutbah Jumaat adalah suatu pendekatan paling berkesan jika ia mampu dimanafaatkan sebaik mungkin.

Alahai Bahasa Melayu

Idea untuk menggunakan Bahasa Inggeris (BI) dalam pembelajaran Sains/Matematik (S/M) merupakan cetusan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed. Dengan pengenalan dasar tersebut, pengajaran bagi matapelajaran-matapelajaran berkaitan S/M telah dilaksanakan bermula dari peringkat rendah sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Tahun ini genaplah satu kitaran lengkap pelaksanaan dasar tersebut. Namun, tidak semua pihak meyakini bahawa dasar tersebut telah berjaya, khususnya terhadap mempertingkatkan kualiti akademik anak-anak Melayu/Bumiputera. Kalau diperhatikan, ramai negara di dunia ini yang tidak menggunakan BI dalam pembelajaran S/M; tetapi mereka tetap berjaya. Contohnya adalah Jepun, Belanda, Jerman, China, dan banyak lagi. Semuanya boleh berjaya tanpa BI. Inilah yang menghairankan, mengapa kita ingin sangat mendaulatkan BI berbanding bahasa ibunda kita sendiri? Mungkin apa yang dilakukan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) yang membuat laporan polis terhadap Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan simbolik "penentangan" terhadap dasar tersebut. Masakan tidak, prestasi akademik anak-anak Melayu/Bumiputera dalam matapelajaran S/M tidak ke mana (Buktinya akan dibincangkan dalam tulisan lain yang akan datang). Sehingga hari ini, pihak kerajaan masih berbelah-bahagi untuk meneruskan dasar tersebut atau sebaliknya. Pada pandangan penulis, tidak mengapa jika terpaksa berundur beberapa langkah ke belakang, undurlah; kerana undur itu adalah untuk kita merancang sepuluh langkah ke hadapan. Bahasa (Melayu) Jiwa Bangsa!

Akuilah Hakikatnya


Hari ini, berlaku dua peristiwa yang berjaya mencuri perhatian penulis. Kedua-dua berkisar tentang suatu isu yang sama. Sebelum melanjutkan penulisan, eloklah kita melihat dulu kedua-dua peristiwa tersebut. Peristiwa 1 : Kemelut kepimpinan kerajaan negeri Perak semakin kusut. Setelah kehilangan sokongan melalui beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertukar angin sehingga terhapusnya majoriti di dalam Dewan Negeri, pimpinan sedia ada belum bersedia untuk meletakkan jawatannya. Ini belum mengambilkira pandangan pihak Istana selaku pemerintah tertinggi yang diengkari. Memanglah kelaziman sifat kita semua, sukar untuk menerima sesuatu yang tidak memihak kepada kita. (Bagi penulis, apa jua alasan, tidaklah menjadi keutamaan untuk dibincangkan). Peristiwa 2 : Ekoran aduan seorang bekas pelatih (atau warisnya), media telah mendedahkan bagaimana seseorang bakal anggota komando menjalani latihan, iaitu sebelum layak dipakaikan beret hijau. Pelatih-pelatih terpaksa melalui suatu pakej latihan yang amat keras dan melampau. Sudah menjadi kelazimana; pelatih ditampar, disepak, diterajang, dan tentunya banyak lagi yang lain. Penulis melihat ia adalah suatu kaedah bagi membina karektor bakal anggota komando agar tegar dari aspek fizikal dan mental. Beret hijau bukanlah sekadar penutup kepala biasa. Ia menggambarkan kehebatan seseorang individu dari kalangan keseluruhan anggota tentera sediaada. Dalam mempertahankan maruah negara bangsa, mereka sanggup melakukan apa sahaja - termasuklah mempertaruhkan nyawanya. Adakah dengan latihan santai dan rilek (misalnya dibuat di sebuah hotel, di pinggir sebuah pantai terkenal di Negeri Sembilan, berserta dengan pakej enam kali makan sehari) akan mampu melahirkan seorang anggota komando yang hebat? Begini sahajalah, kalau kail kita panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Ulasan : Dalam apa jua senario kehidupan seharian kita, eloklah kita menerima semampunya, seadanya, tetapi bukannya semahunya. Kepada semua, akuilah hakikatnya!

Lompat Si Katak

Sehari dua ini, politik Malaysia sedikit kecoh - khususnya di negeri Perak. Cerita menariknya bermula apabila salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan keluar parti sekaligus menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Belum reda dengan senario itu, dua ADUN dari PKR yang lain pula "menghilangkan diri", dipercayai sebagai persediaan untuk menyertai BN. Ditambah pula dengan pengumuman oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dari PKR yang mungkin akan turut menyertai BN. Kekecohan ini dilihat sebagai suatu perkara yang serius, khususnya ia dilihat dari sudut kematangan berpolitik. Setiap ADUN merupakan wakil kepada sejumlah rakyat dari sesuatu kawasan pilihanraya. Memang kita akui, mereka mungkin dipilih oleh kerana watak individu mereka. Tetapi, faktor parti mana yang mereka wakili juga turut menjadi elemen penting semasa rakyat mengundi dalam pilihanraya. Justeru, apabila mereka mengambil tindakan keluar parti (atau melompat parti), mereka seharusnya meletakkan jawatan sebagai ADUN terlebih dahulu. Jika benar, mereka adalah pilihan parti (yang baru) dan rakyat, mereka pasti tiada masalah untuk mencapai kemenangan. Sebaliknya, apa yang berlaku ialah mereka mengumumkan bertukar parti, tetapi tidak berani meletakkan jawatan ADUN tersebut. Pada pandangan penulis, ia tidak menggambarkan kematangan dan keberanian mereka dalam berpolitik. Amalan melompat parti sedemikian pasti akan merosakkan sistem politik sesebuah negara. Kalau dulu, YB Datuk Ibrahim Ali digelar "Putera Katak" oleh sesetangah pengkritik politik, nampaknya tidak lama lagi, semakin banyaklah "Putera-putera Katak" dilahirkan.