Wang Kita Milik Mereka
Beberapa hari lepas, Dewan Rakyat dimaklumkan melalui jawapan lisan Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan Malaysia; bahawa hampir RM20 bilion wang dari dalam negara Malaysia telah dihantar keluar Malaysia! Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM3 bilion adalah ke negara Bangladesh. Jumlah ini amat besar. Jika dibandingkan dengan peruntukan Bajet 2014 tempohari iaitu RM232 bilion, pengaliran wang negara ini adalah 8.6% daripada jumlah tersebut. Pada hemat penulis, keadaan ini berlaku setelah banyak peluang pekerjaan dalam negara kita telah diisi oleh pekerja-pekerja asing, terutamanya daripada Bangladesh. Mengikut perkiraan mudah berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran Malaysia pada bulan Ogos 2013 ialah 3.1% atau 877,300 orang berbanding jumlah keseluruhan penduduk Malaysia sebanyak 28.3 juta orang. Maka sekiranya kesemua rakyat Malaysia yang penganggur ini mengambil peluang dengan bekerja (menggantikan kesemua pekerja asing yang ada tadi), kita mendapati bahawa secara puratanya setiap pekerja Malaysia tadi mampu meraih pendapatan sebanyak RM22,797 setahun atau RM1,899 sebulan! Inilah akibatnya jika kita merasa selesa dengan apa yang ada. Apatah lagi apabila kita terlalu memilih pekerjaan. Tugas untuk memakmurkan ekonomi negara ini seharusnya terpikul di bahu kita semua rakyat Malaysia, dan bukannya di bahu orang luar.
Harapkan Pagar
Peristiwa seorang pegawai di sebuah bank ditembak mati oleh pengawal keselamatannya sendiri amat mengejutkan kita. Dan hari ini, polis telah berjaya menangkap suspek berkenaan, telah sedikit sebanyak melegakan kita semua. Di kesempatan ini, rasanya belum terlambat untuk kita mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah. Kejadian ini turut menarik perhatian penulis untuk dibincangkan. Semua di kalangan kita tahu bahawa setiap bank yang beroperasi di negara kita (khususnya bank-bank utama) telah mencatatkan kadar keuntungan yang cukup besar. Ada sebuah bank misalnya telah mencatatkan keuntungan tahunan melebihi RM500 juta! Dengan jumlah yang cukup besar ini, mengapakan bank-bank ini masih menggunapakai khidmat kawalan keselamatan yang dikontrakkan kepada pihak ketiga? Mengapa tidak mereka sendiri menguruskan aspek keselamatan mereka? Ada sebuah institusi lain pula (tetapi bukan dalam kalangan bank-bank) tetapi turut menguruskan hal-hal berkaitan wang tunai, telah menggunakan khidmat pasukan keselamatan mereka sendiri - Polis Bantuan PDRM! Walaupun institusi ini mencatatkan hanya separuh keuntungan berbanding bank-bank tertentu tadi, tetapi mereka tidak berkompromi dalam aspek keselamatan. Dengan adanya pasukan polis bantuan tersebut, tentunya keselamatan mereka lebih terjamin berbanding dengan khidmat yang disediakan pihak ketiga. Setidak-tidaknya, selesalah sedikit staf-staf merka untuk hadir bertugas. Peristiwa ini cukup memberikan kesan kepada kita semua, termasuklah kepada seorang rakan penulis. Sebelum beliau masuk berurusan di kaunter mana-mana bank, beliau pasti akan mengajukan pertanyaan, "Maaf Encik, guard kat sini ok ke tidak?"
Subscribe to:
Posts (Atom)