Berubah Lebih Baik
Sepotong pepatah Arab berbunyi, "beruntunglah sesiapa dari kalangan kamu yang hari ininya lebih baik daripada semalam". Pepatah ini sebenarnya amat hampir dengan kehidupan kita seharian. Persoalannya, bagaimana kita mampu berubah? Apakah faktor yang mampu mendorong kita untuk berubah? Misalnya, kita berhenti bekerja di sebuah organisasi, dan mula bekerja di organisasi lain. Apakah matlamat kita hanya sekadar mencari pendapatan yang lebih besar? Atau ada matlamat lain yang lebih murni dan berwibawa? Pada hemat penulis, kita perlu berubah kerana kita perlu meningkatkan lagi kualiti diri kita ke tahap yang lebih baik. Perubahan itu tidak sekali-kali berfokuskan kepada faktor luaran daripada diri kita (seperti gaji lebih besar). Perubahan itu mesti mengutamakan kepada hasrat dan keinginan kita untuk menjadi lebih baik. Sebagai seorang pekerja kepada mana-mana organisasi sekalipun, kita perlu sentiasa berubah untuk jadi lebih baik kerana perubahan kita itu akan menyumbang kepada kejayaan organisasi yang kita wakili secara keseluruhannya. Kalau setiap pekerja dalam organisasi itu berkelakuan sama seperti kita itu, sudah barang tentu organisasi itu akan menjadi sebuah organisasi yang hebat. Kemudian, barulah datang ganjarannya; sumbangan yang lebih besar, peranan yang lebih dominan, pendapatan yang lebih baik, dan banyak lagi. Percayalah, dalam mana-mana seminar mahupun bengkel kendiri yang kita hadiri, "berubah" inilah yang perlu kata kunci kepada kejayaan yang besar. Perubahan ke arah yang lebih baik tidak perlu bermula dengan sesuatu yang besar. Mulakan dengan yang kecil dan mudah dahulu. Kemudian, barulah kita lakukan yang besar pula. Bersempena bulan Maulud yang mulia ini, marilah kita bersama-sama menganjak diri kita ini ke arah yang lebih baik dan berjaya!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment