Kalah Berjuang

Penulis bukanlah seorang peminat fanatik bolasepak. Tetapi perlawanan akhir Piala FA Malaysia semalam telah menarik minat penulis untuk duduk menghadap kaca tv menonton. Biasanya situasi pelik ini hanya akan berlaku apabila ada perlawanan-perlawanan yang melibatkan pasukan gergasi English Premier League (EPL); misalnya Manchester United, Chelsea, Liverpool atau pun Arsenal (maaf, ini bukan "kredit percuma" kepada fanatik mereka). Mungkin ia disebabkan oleh pasukan Kelantan yang bermain dalam perlawanan itu. Penulis yang tinggal lama (membesar) di Kelantan tentunya merasa sedikit teruja dengan perlawanan tersebut. Sebenarnya, penulis tidaklah begitu arif dengan senarai pemain Kelantan, begitu juga Selangor. Tetapi lazimnya, pertembungan dua pasukan dalam suatu perlawanan akhir tentunya menjanjikan sesuatu yang menarik. Usah kita membandingkan perlawanan itu dengan mana-mana perlawanan dalam EPL; penulis berpendapat bahawa perlawanan akhir itu menarik. Kedua-dua pasukan agak sama kuat. Namun nasib tidak menyebelahi Kelantan. Kalah dengan keputusan agregat 4-1 sepakan penalti. Kekalahan ini bukanlah sesuatu yang memalukan. Kekalahan ini adalah kekalahan bermaruah. Ia berlaku setelah mereka berjuang berhabisan-habisan. Perlawanan itu mengingatkan penulis kepada suatu peristiwa; ketika itu penulis adalah pendebat kedua dalam pasukan debat universiti di mana penulis belajar suatu masa dahulu. Ketika pasukan kami diumumkan berjaya menewaskan pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada peringkat Separuh Akhir, tiba-tiba ketua pasukan kami berkata, "Akhirnya kita dah masuk final. UiTM tu kuat, kalau kita kalah pun takpe nanti!". Tanpa berlengah, penulis terus melahirkan ketidakpuasan hati kepada beliau - nyaris berlaku pergaduhan intelek! Begitu juga dengan ahli-ahli pasukan kami yang lain. Mengalah sebelum berjuang bukanlah sesuatu yang baik dan positif. Dipendekkan cerita, pasukan kami betul-betul tewas kepada pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada peringkat Akhir! Sehingga sekarang (mungkin sampai bila-bila kot), penulis dan seluruh ahli pasukan kami tetap percaya bahawa punca kami tewas adalah kerana "cabulnya mulut" pendebat pertama kami itu yang mengaku kalah sebelum berjuang!

No comments: