60,000 Orang

Dalam Ucapan Penggulungan oleh Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lepas, beliau ada menyatakan bahawa mulai pemilihan yang akan datang, pengundian bagi jawatan-jawatan dalam parti akan dilaksanakan oleh sejumlah ahli yang mampu mencerminkan komposisi sebenar ahli parti. Dengan pengumuman tersebut dijangka bahawa seramai hampir 60,000 orang ahli parti akan berkelayakan untuk membuang undi, berbanding 2,600 orang buat masa ini. Berdasarkan laporan oleh Lembaga Disiplin parti yang telah mensabitkan beberapa orang ahlinya terlibat dengan amalan politik wang, adalah boleh diandaikan bahawa politik wang (atau dalam apa jua bentuk sekalipun yang boleh ditakrifkan seumpamanya) sememangnya berlaku dalam UMNO. Merujuk kepada andaian tersebut, perhatikan senario berikut. Andaikan bahawa seseorang perwakilan memerlukan "peruntukan" (atau apa jua bentuknya) sejumlah RM500 bagi setiap orang. Untuk berjaya memenangi jawatan-jawatan kanan, seseorang calon memerlukan sekurang-kurang sebanyak 1,800 undi (atau 69% daripada jumlah 2,600 orang perwakilan). Oleh hal yang demikian, seseorang calon yang bercadang untuk memenangi sesuatu jawatan hendaklah bersedia dengan peruntukan iaitu sebanyak RM500 x 1,800 iaitu RM900,000. Dan mungkin masih memerlukan tambahan sebanyak RM100,000 iaitu bagi tujuan-tujuan luar jangka lain. Mudahnya, seseorang calon itu memerlukan minimum sebanyak RM1 juta! Sekarang, bayangkan pula apabila seramai 60,000 orang ahli yang akan mengundi mereka. Dengan mengambilkira kadar peratus (jumlah undi yang diperlukan untuk memenangi jawatan) yang sama sebagaimana senario di atas tadi (iaitu 69%), seseorang calon mungkin akan terpilih hanya setelah berjaya memperolehi sebanyak 41,400 undi. Andaikan pula bahawa bagi setiap ahli tersebut, seseorang calon perlu "memperuntukan" pada kadar 50% daripada peruntukan dalam senario di atas tadi (iaitu RM250 sahaja), maka seseorang calon tersebut perlu memiliki RM250 x 41,400 iaitu RM10,350,000 bagi menyokong usahanya bertanding! Ini adalah suatu "peruntukan" yang boleh dianggap luarbiasa! Kalaulah benar politik wang begitu berleluasa dalam UMNO, adalah diharapkan agar dengan perubahan dasar ini, parti UMNO akan bersih, sekaligus membersihkan parti daripada elemen-elemen kotor. Ini pasti akan mengembalikan dokongan rakyat keseluruhan terhadap UMNO. Walaupun mungkin di kalangan kita adalah bukan penyokong atau ahli UMNO, apa yang berlaku dalam UMNO pasti akan mencerminkan sistem pemerintahan negara; dan ini tentunya mempunyai tempiasnya kepada kita semua samada secara langsung atau tidak langsung. Inilah hakikatnya, terpulanglah kepada kita untuk mengakuinya atau menidakkannya!

No comments: