Habit Menulis
Menulis adalah salah satu kegemaran penulis. Penulis lazimnya tidak berkira untuk menulis. Politik boleh, sosial boleh, kemasyarakatan boleh, dan apa sahajalah yang mampu menarik akal dan fikiran ini. Tetapi samada suka atau tidak untuk diakui, mengekalkan konsistensi menulis bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak cabarannya. Kekangan masa dek tugas-tugas hakiki di pejabat, kesibukan dengan tugas-tugas sambilan di sana-sini, belum mengambilkira masa dan tenaga untuk membantu isteri menguruskan hal ehwal keluarga dan rumahtangga, penglibatan dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, dan pelbagai perkara lagi; telah membuat penulis menjadi semakin jarang menulis, waima di laman blog ini! Biar apapun alasannya, kalau menulis itu ingin dijadikan habit, penulis (atau siapa jua yang ingin bergelar penulis) harus berubah. Dalam diri seseorang penulis, sememangnya ada banyak yang ingin dilontar keluar, dikongsi sama dengan khalayak. Justeru, bagaimana cara untuk kita terus kekal menulis khususnya di laman blog seperti ini? (1) Kita boleh menulis mengenai tips atau perkara-perkara yang ringkas sahaja. Tapi itulah, penulis amat jarang menulis yang ringkas-ringkas sahaja. Lazimnya, segalanya ingin dituliskan. Tidak selesa rasanya kalau dikongsi sikit-sikit sahaja. (2) Tulis isi maklumat yang ingin dikongsi dalam bentuk senarai. Tetapi, bagaimana hendak sekadar disenaraikan sahaja. Ada pelbagai hujahan dan tafsiran yang ingin disampaikan. Bagaimana mungkin, idea yang ingin dinyatakan itu dapat dizahirkan sejelas-jelasnya jika tiada penerangan yang berkaitan dengannya. (3) Gantikan menulis dengan imej atau gambar. Ada pepatah lama, "picture worth a thousand words". Tapi, bagaimana maksud dan intipati yang ingin kita sampaikan akan kesampaian kepada fikiran khalayak. Ambil contoh mudah - "pokok"! Ada orang melihat gambar pokok sebagai simbol kepada usaha menghijaukan dan melestarikan bumi. Tapi, gambar pokok juga bermakna wang di mata orang lain - kontraktor pembalakan! Nah, bagaimana gambar boleh menggantikan kata-kata? (4) Paksa diri untuk sentiasa kemaskini laman menulis. Yang ini memang benar. Tanamkan dalam diri kita betapa menulis itu adalah satu wadah kita mengasah akal dan fikiran. Dengan bersandarkan kepada idea yang ada, kita perlu mentafsir dan menterjemahkannya kepada bentuk dan rupa yang berbeza, mengikut acuan dan persepsi kita, dan seterusnya dikongsikan dengan khalayak lain pula. Dengan demikianlah, barulah ilmu dan pengetahuan yang ada itu akan terus berkembang dan berkembang. Namun, dengan apa jua tipsnya untuk kita kekal dan konsisten menulis, kalau kita tidak membaca, pasti ianya menjadi lebih sukar lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment