Perjuangan Yang Hak
Tindakan berani Perdana Menteri Turki, Recep Tayyib Erdogen dalam suatu sesi persidangan World Economic Forum bertempat di Davos, Switzerland amat mengejutkan semua (mengujakan!). Sesi tersebut turut dihadiri oleh Presiden Israel, Shimon Peres; Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Ban Ki-moon; serta Ketua Liga Arab, Amr-Mouss. Sikap berat sebelah sesi perbincangan tersebut khususnya dalam isu pencerobohan Gaza telah menimbulkan ketidakpuasan hati PM Recep. Tindakan di mana Presiden Peres telah diberikan ruang seluas-luasnya untuk menyatakan pendiriannya terhadap tindakan biadapnya menceroboh bumi Gaza baru-baru ini. Sedangkan PM Recep atau wakil Liga Arab tidak mendapat peluang sewajarnya untuk menyatakan pandangan balas. Ini lantas mendorong PM Recep dengan beraninya mengambil tindakan, bangun meninggalkan sesi/majlis yang sedang berlangsung. Dengan kapasitinya sebagai ketua sebuah negara, tindakan tersebut dilihat sebagai amat berani dan "biadap yang bermaruah". Di awal penulisan ini, penulis menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah bersejarah. Kenapa? Memang sudah ramai pemimpin negara-negara Islam (sesetengahnya mendakwa lebih Islam dari Turki) yang telah mendapat peluang bercakap di pentas persidangan antarabangsa. Tetapi tiada seorang pun yang berani menyatakan pendirian setegas PM Recep. Semuanya asyik bercakap secara berlapik dan retorik - sekadar menyedapkan telinga mendengar. Tindakan sedemikian sebenarnya telah mengundang persepsi betapa kita umat Islam hanya mampu berkata-kata, itupun dengan penuh lemah-gemalai. PM Recep sebenarnya cukup sedar betapa tindakannya itu pasti kurang popular khususnya di kalangan pembangkang di parlimen Turki. Sesungguhnya, itulah harga sebuah keberanian yang perlu dibayar PM Recep, bahkan beliau ditohmah sebagai "menjatuhkan maruah Turki di mata dunia". Dalam hal ini, penulis tetap bersetuju dengan tindakan PM Recep. Kesengsaraan dan penderitaan saudara seIslam di bumi Gaza tidak boleh dipandang sebelah mata. Warga tua, wanita dan kanak-kanak telah menjadi mangsa bedilan roket dan peluru tentera Israel tanpa peri kemanusiaan. Sifat sama-sama merasai penderitaan inilah yang telah menjadi kekuatan kepada PM Recep bangun dan meninggalkan sesi perbincangan. Itulah keberanian seorang ketua negara sebuah negara sekular. Kalau kita mengatakan kita adalah sebuah negara Islam (sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia), mengapa pemimpin kita tidak seberani PM Recep? Sama-sama kita fikirkan!
Harapan Dan Cita-cita
Sebagai penjawat di sebuah institusi pengajian tinggi swasta, penulis telah mengalami pelbagai peristiwa yang berkaitan pengurusan. Ketenangan dalam menyambut Tahun Baru Cina yang lepas telah mengejutkan kami dengan kembalinya ke rahmatullah salah seorang penuntut kami. Arwah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Bagaimana ia berlaku bukanlah isu yang ingin diketengahkan di sini. Ada hal lain yang lebih menarik perhatian. Ketika menziarahi keluarga penuntut tersebut, penulis melihat bagaimana si bapa kepada arwah telah merancang dengan teliti - bagaimana kelangsungan perniagaan yang diasaskan olehnya kelak. Dengan memiliki firma penilaian yang berdaftar dan berjaya, adalah menjadi suatu kebanggaan kepada beliau sekiranya ia dapat diwariskan kepada darah dagingnya sendiri. Bahkan, sekiranya perancangan itu dimakbulkan Tuhan, ia kelak akan menjadi lambang kejayaan si bapa mendidik anak-anak, jua simbolik kepada kejayaan merancang masa depan anak-anaknya. Justeru memenuhi harapan itulah, maka si anak telah memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang serupa. Benarlah kata orang, ajal maut di tangan Tuhan. Segala perancangan yang tersusun rapi rupanya tidak dimakbulkan Tuhan. Arwah telah pergi sebelum sempat menerajui firma yang dibangunkan bapanya. Namun, penulis percaya betapa segala yang berlaku ini pastinya mempunyai hikmah yang tersendiri. Kepada arwah, penulis mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat. Kepada si bapa, redhalah pemergiannya, kerana ia ketentuan olehNya. Antara harapan dan cita-cita.
Selamat Tahun Baru Cina
Kepada rakan-rakan berbangsa Cina sekalian, penulis ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina! Sempena TBC tahun ini, penulis merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Mungkin boleh kita fikirkan bersama. Pertama, sambutan raya tahun ini tidak "semeriah" tahun-tahun dulu. Dentuman bunga api begitu kurang sekali. Adakah kerana kebanyakan stok bunga api dah dirampas oleh pihak yang berkenaan. Kalau dalam sambutan yang dulu-dulu, kita dapat saksikan pelbagai bentuk bunga api. Bak kata orang, "muai"lah dapat menghayati persembahan bunga api percuma mereka. Namum, nampaknya senario serupa tidak lagi berlaku di tahun ini. Kedua, sambutan TBC lazimnya tidak sempurna tanpa limau mandarin a.k.a. oren. Di tahun-tahun dulu, semua pusat membeli belah akan membuat jualan murah (dan jualan tak murah). Dengan harga yang menarik, stok buah rasmi pasti mampu dihabiskan dalam tempoh masa yang singkat sahaja. Namun, senario yang berbeza berlaku pada tahun ini. Lambakan oren agak ketara. Jualan pula tidak memberangsangkan - walaupun harganya agak murah. Penulis percaya, ianya hanya disebabkan oleh satu faktor sahaja - kesangsian terhadap kandungan melamin dalam buah-buahan import khususnya dari negara China. Cuma, dapatlah sebiji dua kita sama-sama merasa, itupun dengan penuh rasa was-was. Tawakkal sahajalah - maklumlah, dah mengidam sangat dah. Apapun, penulis mengharapkan semoga kehidupan di tahun baru ini bertambah aman dan makmur buat semua. Semoga bergembira selalu.
Obama dan Harapan
Hari ini adalah hari pertama Barack Hussein Obama melaksanakan tugasnya. Dengan latar keluarga kulit hitam (dahulunya merupakan kaum kelas kedua di bumi Amerika), perlantikan beliau sebagai Presiden ke-44 bagi Amerika Syarikat, ia telah menjadi simbolik kejayaan kaumnya. Malangnya, kejayaannya ini tidak dapat diraikan oleh pejuang-pejuang kulit hitam terdahulu. Apa yang menarik perhatian penulis ialah; reaksi dan harapan seluruh dunia terhadap kepimpinan Obama. Hal ini cukup berbeza berbanding dengan perlantikan presiden-presiden terdahulu. Sebaik sahaja keputusan pemilihan presiden dimuktamadkan, seluruh dunia akan bercakap dengan keinginan dan harapan mereka terhadap Amerika. Lazimnya, bakal presiden akan diperleceh-lecehkan, khususnya dalam hal ehwal hubungan antarabangsa. Namun untuk Obama, nadanya berbeza. Harapan untuk membawa Amerika keluar dari kepompong keegoan dan keterpencilan daripada khalayak negara dunia begitu ketara. Persoalannya, mampukah Obama untuk menggalas harapan ini? Penulis sebenarnya sangat mengharapkan semoga Amerika dengan kepimpinan Obama adalah sebuah "the New of United States of America".
Bersikap Profesional
Berakhir sudah Pilihanraya Kecil P36 Parlimen Kuala Terengganu. Pilihanraya tersebut dilangsungkan setelah Yang Berhormat, Allahyarham Dato' Razali Ismail meninggal dunia. Penulis sebenarnya tidak berniat untuk menyatakan pihak manakah yang menjadi pilihan. Sebaliknya, apa yang menarik perhatian penulis untuk membincangkan perihal pilihan raya ini ialah sikap calon-calon (samada yang menang dan yang tewas) semasa Pengurus Pilihanraya mengumumkan keputusan. Sebagaimana umum mengetahui, rakyat Kuala Terengganu telah menentukan siapakah yang terlayak mewakili mereka ke Dewan Rakyat. Tetapi mengapakah masih ada sebahagian daripada kita masih belum mampu bersikap profesional dalam menghadapi sesuatu situasi yang tidak memihak kepada kita. Mengapa Datuk Wan Farid Wan Salleh tidak dapat bersama-sama di atas pentas ketika pegawai Suruhanjaya Piliharaya (SPR) mengumumkan keputusan. Adalah lebih molek dan bermaruah jika beliau turut sama berada di atas pentas dan mendengar keputusan yang dibacakan (walaupun beliau telah pun mengetahui keputusannya). Setelah mendengar keputusan, beliau bolehlah bersalaman seraya mengucapkan tahniah kepada calon Parti Islam Semalaysia (Pas) yang menang, serta mengucapkan terima kasih kepada pegawai SPR berkenaan. Kalaulah ini yang dilakukan, beliau sememang seorang yang sangat gentleman dan bersikap terbuka. Pada pandangan penulis, tiada apa yang perlu dimalukan oleh Datuk Wan Farid. Bukankah adat bertanding, ada yang menang ada yang tewas. Kepada calon Pas yang menang, tahniah! Ingatlah, jawatan yang "diamanahkan" Allah ini sesungguhnya hadir dengan seribu tanggungjawab.
Gaza Bermandi Darah
Hari ini, penulis dijemput untuk mengacarakan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1430 Hijrah. Memandangkan sambutan tahun ini telah diselubungi kesedihan terhadap penderitaan saudara seagama kita di bumi Gaza, pembicaraan dalam ucapan mahupun ceramah pastinya tidak boleh tidak - berkaitan Gaza yang bermandi darah. Paling menyentuh hati dan perasaan adalah apabila rangkuman rakaman audio-visual yang telah berjaya disusun pihak penganjur. Rakaman demi rakaman digabungjalin dan dipertontonkan kepada khalayak dengan disulami iringan doa yang penuh syahdu oleh seorang iman besar, pastinya telah mengusik jiwa dan rasa sesiapa jua di dalam dewan itu - sesiapa jua Muslim. Tidak sanggup untuk melihat apakah rakaman berikut selepas berakhirnya sesatu rakaman. Inilah nasib yang sedang menimpa saudara kita di bumi Gaza. Persoalannya, apakah yang mampu kita lakukan dengan kudrat yang seadanya kita ini? Lalu, kedengaranlah saranan, "Boikot Israel/Yahudi!". Mungkin itulah sahaja yang mampu kita lakukan demi nyawa mereka. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada yang syahid, Amin! [Bagaimana Yahudi telah menguasai dunia? Ketahui jawapannya dalam Blog Encik Kaffi]
Jawatan Dan Tanggungjawab
Sebagai staf dalam sesebuah organisasi, jawatan yang diberikan adalah merupakan suatu tanggungjawab yang harus dipikul dengan sebaik mungkin. Walaupun ia boleh dilihat sebagai suatu pengiktirafan, tetapi amanah yang turut sama terpikul tidak boleh dipandang ringan. Untuk menjadi seorang ketua yang baik; aspek kepimpinan dan pengetahuan serta komunikasi antara ketua dan pengikut harus dititikberatkan. Di tangan seorang ketualah, sesebuah organisasi itu akan tercorak, hitam atau putihnya sebuah organisasi... Selamat Bertugas (buat diri sendiri dan sesiapa jua yang baru dilantik ke sesuatu jawatan baru)!
Artikel Dan Rencana
Berikut adalah petikan daripada rencana pertama yang dihasilkan oleh penulis. Rencana ini telah diterbitkan dalam akhbar perdana, Berita Harian pada 25 Februari 2006. Tajuknya ialah "Syor pendidikan khas untuk Adi Putra : SAYA terpanggil untuk memberikan respons terhadap laporan akhbar yang menyatakan Adi Putra Abdul Ghani akan dikenakan tindakan disiplin. Tindakan berkenaan diambil kerana dia selalu tidak hadir ke sekolah. Dia hanya hadir jika hari berkenaan mempunyai mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Katanya, dia bosan apabila diminta menulis digit 1 hingga 9 sampai penuh satu halaman buku tulisnya. Tidak cukup dengan digit, huruf A, B, C dan seterusnya pula dijadikan kerja rumah. Tentu di kalangan kita ramai yang ketawa...". Catatan : Di atas sebab-sebab tertentu, hanya sebahagian sahaja yang dapat dipaparkan... [[Sebenarnya, masih terdapat banyak lagi rencana yang disediakan penulis dan telah disiarkan di akhbar yang sama. Antaranya ialah rencana "Agih Tugas Bukan Hakiki Guru" disediakan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan. Ia merupakan pandangan peribadi terhadap profesion keguruan Malaysia (maklumlah, isteri penulis adalah seorang guru). Rencana "Bina Modal Insan Berkualiti" pula disediakan bagi mengulas ucapan YAB Perdana Menteri Malaysia dalam sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan. Pak Lah amat menitikberatkan pembangunan modal insan iaitu sebagai faktor kejayaan suatu ketamadunan negara bangsa. Selain itu, "Contohi Kesetiaan Tun Ghafar" merupakan rencana berbentuk biografi. Rencana ini disediakan beberapa hari selepas Allahyarham Tun Ghafar Baba kembali ke rahmatullah. Sementara itu, rencana "Jambatan Jadi Sejarah Indah" pula merupakan nada protes penulis terhadap hubungan yang suam-suam panas antara Malaysia-Singapura. Kebiadapan Singapura terhadap kedaulatan Malaysia bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Dan rencana "Sejarah Panduan Masa Hadapan" pula telah disiarkan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Penubuhan UMNO, kerana rencana tersebut berjaya menjelaskan bahawa sambutan tersebut bukan milik UMNO semata-mata, tetapi ia adalah milik siapa jua bergelar Melayu.]]
Selamat Datang!
Salam untuk semua! Selamat Datang ke laman blog peribadi Mohd Lokman Bin Abdullah. Lelaman blog ini akan mengutarakan pandangan peribadi penulis berhubung dengan pelbagai aspek kehidupan yang difikirkan menarik perhatian. Sebarang respon berkaitan dengan sebarang penulisan dalam blog ini amatlah dialu-alukan. Penulis boleh dihubungi melalui emel mr.mohdlokman@yahoo.com. Semoga segala perbincangan kita kelak bakal membawa kebaikan buat semua. Selamat Berblog buat semua!
Subscribe to:
Posts (Atom)