Bersikap Profesional

Berakhir sudah Pilihanraya Kecil P36 Parlimen Kuala Terengganu. Pilihanraya tersebut dilangsungkan setelah Yang Berhormat, Allahyarham Dato' Razali Ismail meninggal dunia. Penulis sebenarnya tidak berniat untuk menyatakan pihak manakah yang menjadi pilihan. Sebaliknya, apa yang menarik perhatian penulis untuk membincangkan perihal pilihan raya ini ialah sikap calon-calon (samada yang menang dan yang tewas) semasa Pengurus Pilihanraya mengumumkan keputusan. Sebagaimana umum mengetahui, rakyat Kuala Terengganu telah menentukan siapakah yang terlayak mewakili mereka ke Dewan Rakyat. Tetapi mengapakah masih ada sebahagian daripada kita masih belum mampu bersikap profesional dalam menghadapi sesuatu situasi yang tidak memihak kepada kita. Mengapa Datuk Wan Farid Wan Salleh tidak dapat bersama-sama di atas pentas ketika pegawai Suruhanjaya Piliharaya (SPR) mengumumkan keputusan. Adalah lebih molek dan bermaruah jika beliau turut sama berada di atas pentas dan mendengar keputusan yang dibacakan (walaupun beliau telah pun mengetahui keputusannya). Setelah mendengar keputusan, beliau bolehlah bersalaman seraya mengucapkan tahniah kepada calon Parti Islam Semalaysia (Pas) yang menang, serta mengucapkan terima kasih kepada pegawai SPR berkenaan. Kalaulah ini yang dilakukan, beliau sememang seorang yang sangat gentleman dan bersikap terbuka. Pada pandangan penulis, tiada apa yang perlu dimalukan oleh Datuk Wan Farid. Bukankah adat bertanding, ada yang menang ada yang tewas. Kepada calon Pas yang menang, tahniah! Ingatlah, jawatan yang "diamanahkan" Allah ini sesungguhnya hadir dengan seribu tanggungjawab.

No comments: