Harapan Dan Cita-cita
Sebagai penjawat di sebuah institusi pengajian tinggi swasta, penulis telah mengalami pelbagai peristiwa yang berkaitan pengurusan. Ketenangan dalam menyambut Tahun Baru Cina yang lepas telah mengejutkan kami dengan kembalinya ke rahmatullah salah seorang penuntut kami. Arwah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Bagaimana ia berlaku bukanlah isu yang ingin diketengahkan di sini. Ada hal lain yang lebih menarik perhatian. Ketika menziarahi keluarga penuntut tersebut, penulis melihat bagaimana si bapa kepada arwah telah merancang dengan teliti - bagaimana kelangsungan perniagaan yang diasaskan olehnya kelak. Dengan memiliki firma penilaian yang berdaftar dan berjaya, adalah menjadi suatu kebanggaan kepada beliau sekiranya ia dapat diwariskan kepada darah dagingnya sendiri. Bahkan, sekiranya perancangan itu dimakbulkan Tuhan, ia kelak akan menjadi lambang kejayaan si bapa mendidik anak-anak, jua simbolik kepada kejayaan merancang masa depan anak-anaknya. Justeru memenuhi harapan itulah, maka si anak telah memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang serupa. Benarlah kata orang, ajal maut di tangan Tuhan. Segala perancangan yang tersusun rapi rupanya tidak dimakbulkan Tuhan. Arwah telah pergi sebelum sempat menerajui firma yang dibangunkan bapanya. Namun, penulis percaya betapa segala yang berlaku ini pastinya mempunyai hikmah yang tersendiri. Kepada arwah, penulis mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat. Kepada si bapa, redhalah pemergiannya, kerana ia ketentuan olehNya. Antara harapan dan cita-cita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment