Perjuangan Yang Hak
Tindakan berani Perdana Menteri Turki, Recep Tayyib Erdogen dalam suatu sesi persidangan World Economic Forum bertempat di Davos, Switzerland amat mengejutkan semua (mengujakan!). Sesi tersebut turut dihadiri oleh Presiden Israel, Shimon Peres; Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Ban Ki-moon; serta Ketua Liga Arab, Amr-Mouss. Sikap berat sebelah sesi perbincangan tersebut khususnya dalam isu pencerobohan Gaza telah menimbulkan ketidakpuasan hati PM Recep. Tindakan di mana Presiden Peres telah diberikan ruang seluas-luasnya untuk menyatakan pendiriannya terhadap tindakan biadapnya menceroboh bumi Gaza baru-baru ini. Sedangkan PM Recep atau wakil Liga Arab tidak mendapat peluang sewajarnya untuk menyatakan pandangan balas. Ini lantas mendorong PM Recep dengan beraninya mengambil tindakan, bangun meninggalkan sesi/majlis yang sedang berlangsung. Dengan kapasitinya sebagai ketua sebuah negara, tindakan tersebut dilihat sebagai amat berani dan "biadap yang bermaruah". Di awal penulisan ini, penulis menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah bersejarah. Kenapa? Memang sudah ramai pemimpin negara-negara Islam (sesetengahnya mendakwa lebih Islam dari Turki) yang telah mendapat peluang bercakap di pentas persidangan antarabangsa. Tetapi tiada seorang pun yang berani menyatakan pendirian setegas PM Recep. Semuanya asyik bercakap secara berlapik dan retorik - sekadar menyedapkan telinga mendengar. Tindakan sedemikian sebenarnya telah mengundang persepsi betapa kita umat Islam hanya mampu berkata-kata, itupun dengan penuh lemah-gemalai. PM Recep sebenarnya cukup sedar betapa tindakannya itu pasti kurang popular khususnya di kalangan pembangkang di parlimen Turki. Sesungguhnya, itulah harga sebuah keberanian yang perlu dibayar PM Recep, bahkan beliau ditohmah sebagai "menjatuhkan maruah Turki di mata dunia". Dalam hal ini, penulis tetap bersetuju dengan tindakan PM Recep. Kesengsaraan dan penderitaan saudara seIslam di bumi Gaza tidak boleh dipandang sebelah mata. Warga tua, wanita dan kanak-kanak telah menjadi mangsa bedilan roket dan peluru tentera Israel tanpa peri kemanusiaan. Sifat sama-sama merasai penderitaan inilah yang telah menjadi kekuatan kepada PM Recep bangun dan meninggalkan sesi perbincangan. Itulah keberanian seorang ketua negara sebuah negara sekular. Kalau kita mengatakan kita adalah sebuah negara Islam (sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia), mengapa pemimpin kita tidak seberani PM Recep? Sama-sama kita fikirkan!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment