Wang Kita Milik Mereka

Beberapa hari lepas, Dewan Rakyat dimaklumkan melalui jawapan lisan Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan Malaysia; bahawa hampir RM20 bilion wang dari dalam negara Malaysia telah dihantar keluar Malaysia! Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM3 bilion adalah ke negara Bangladesh. Jumlah ini amat besar. Jika dibandingkan dengan peruntukan Bajet 2014 tempohari iaitu RM232 bilion, pengaliran wang negara ini adalah 8.6% daripada jumlah tersebut. Pada hemat penulis, keadaan ini berlaku setelah banyak peluang pekerjaan dalam negara kita telah diisi oleh pekerja-pekerja asing, terutamanya daripada Bangladesh. Mengikut perkiraan mudah berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran Malaysia pada bulan Ogos 2013 ialah 3.1% atau 877,300 orang berbanding jumlah keseluruhan penduduk Malaysia sebanyak 28.3 juta orang. Maka sekiranya kesemua rakyat Malaysia yang penganggur ini mengambil peluang dengan bekerja (menggantikan kesemua pekerja asing yang ada tadi), kita mendapati bahawa secara puratanya setiap pekerja Malaysia tadi mampu meraih pendapatan sebanyak RM22,797 setahun atau RM1,899 sebulan! Inilah akibatnya jika kita merasa selesa dengan apa yang ada. Apatah lagi apabila kita terlalu memilih pekerjaan. Tugas untuk memakmurkan ekonomi negara ini seharusnya terpikul di bahu kita semua rakyat Malaysia, dan bukannya di bahu orang luar.

Harapkan Pagar

Peristiwa seorang pegawai di sebuah bank ditembak mati oleh pengawal keselamatannya sendiri amat mengejutkan kita. Dan hari ini, polis telah berjaya menangkap suspek berkenaan, telah sedikit sebanyak melegakan kita semua. Di kesempatan ini, rasanya belum terlambat untuk kita mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah. Kejadian ini turut menarik perhatian penulis untuk dibincangkan. Semua di kalangan kita tahu bahawa setiap bank yang beroperasi di negara kita (khususnya bank-bank utama) telah mencatatkan kadar keuntungan yang cukup besar. Ada sebuah bank misalnya telah mencatatkan keuntungan tahunan melebihi RM500 juta! Dengan jumlah yang cukup besar ini, mengapakan bank-bank ini masih menggunapakai khidmat kawalan keselamatan yang dikontrakkan kepada pihak ketiga? Mengapa tidak mereka sendiri menguruskan aspek keselamatan mereka? Ada sebuah institusi lain pula (tetapi bukan dalam kalangan bank-bank) tetapi turut menguruskan hal-hal berkaitan wang tunai, telah menggunakan khidmat pasukan keselamatan mereka sendiri - Polis Bantuan PDRM! Walaupun institusi ini mencatatkan hanya separuh keuntungan berbanding bank-bank tertentu tadi, tetapi mereka tidak berkompromi dalam aspek keselamatan. Dengan adanya pasukan polis bantuan tersebut, tentunya keselamatan mereka lebih terjamin berbanding dengan khidmat yang disediakan pihak ketiga. Setidak-tidaknya, selesalah sedikit staf-staf merka untuk hadir bertugas. Peristiwa ini cukup memberikan kesan kepada kita semua, termasuklah kepada seorang rakan penulis. Sebelum beliau masuk berurusan di kaunter mana-mana bank, beliau pasti akan mengajukan pertanyaan, "Maaf Encik, guard kat sini ok ke tidak?"

Tewasnya Sang Rimau

Akhirnya Harimau Malaya tewas jua di peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012. Kalah kepada Gajah Perang yang dari awal lagi menunjukkan prestasi baik. Walaupun memang adat permainan, kalah dan menang bukanlah sesuatu yang harus kita serahkan kepada takdir semata-mata. Pelbagai pihak mula menyuarakan pendapat masing-masing. Ada yang dapat menerima seadanya, tetapi ada juga yang sebaliknya. Sekumpulan penyokong tegar misalnya tanpa segan silu menyuarakan hasrat mereka untuk melihat pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertukar. DYMM Sultan Pahang dilihat gagal memainkan peranannya dengan berkesan. Penulis bukanlah ingin menyokong kepada mana-mana pihak, tetapi penulis percaya bahawa kini adalah masanya yang tepat untuk kita menilai semula pasukan. Kita harus kenalpasti samada kegagalan itu berpunca daripada kepimpinan persatuan semata-mata. Atau memang ada faktor-faktor lain yang turut menyumbang? Misalnya, (a) kebolehan setiap pemain dalam sesebuah pasukan. Ada yang mengatakan Datuk K Rajagobal hanya memilih pemain pilihannya sahaja, dan bukannya pemain yang terbaik. Ramai berpendapat, masih beberapa pemain berkaliber yang tidak dipanggil menyertai pasukan. Mohd Nazmi Faiz pun turut tercicir. (b) Jurulatih itu sendiri. Adakah corak dan taktikal yang diterapkan dalam pasukan tidak mampu menyaingi kesiap-siagaan pasukan lawan? Dapat kita perhatikan bagaimana sebuah pasukan dalam pertandingan sama telah mempelbagaikan taktikal sepakan sudut. Tetapi mengapa Malaysia langsung tidak menggunakannya? Adakah idea dan strategi oleh jurulatih kita tumpul dan terkebelakang? Tidak hairanlah sekiranya salah seorang jurulatih lawan telah menyatakan bahawa beliau sudah boleh membaca strategi dan taktikal yang digunakan Malaysia. (c) Nasib. Dalam banyak situasi, kita mungkin kurang bernasib baik. Sepakan yang padu dah berjaya membolosi pertahanan lawan, tapi terkena palang pula. Pada hemat penulis, biar apa sahaja sebab musababnya, jika ianya memang benar berlaku, haruslah kita perbaiki (bahkan jika perlu, harus diubah); samada menukar kepimpinan persatuan, membawa masuk pemain yang lebih berpotensi, menukar jurulatihnya, atau berdoa moga nasib menyebelahi kita!

Masa Depan Sebuah Negara

Selang beberapa hari lagi, tahun 2013 akan menjengah tiba. Ini bermakna, penggal pemerintahan kerajaan sedia ada sudah sampai ke penghujungnya, April nanti. Sepanjang sejarah pemerintahan demokrasi bertunjangkan raja berperlembagaan, Pilihanraya Umum Ke 13 ini dijangka adalah yang terhangat. Ada cakap-cakap di kedai kopi yang mengatakan PRU ini akan menetukan hidup dan matinya pakatan pembangkang. Mereka mungkin tidak akan mempunyai peluang sebaik ini untuk menguasai kerajaan di peringkat persekutuan. Namun, rekod perkhidmatan sedia ada pula tidak menyebelahi mereka (sebagaimana laporan-laporan mutakhir di dada-dada akhbar dan media massa). Kekalutan pentadbiran yang melanda Selangor cukup membuatkan rakyat kecewa. Ramai yang menzahirkan penyesalan kerana mencuba nasib apabila menyerahkan pemerintahan kepada pihak pembangkang. Begitu jugalah halnya di Pulau Pinang. Hak rakyat dinafikan. Bantahan muncul di mana-mana. Tetapi biasalah, terlajak perahu boleh diundur. Mereka hanya mampu membantah, tanpa apa boleh berubah. Sehinggalah hari mengundi PRU13 tiba kelak, barulah mereka berpeluang berbuat sesuatu. Sebagai pemerhati, penulis begitu tidak sabar melihat apakah keputusan PRU13 nanti. Apakah usaha-usaha kerajaan (melalui pelbagai inisiatif seperti ETP, NKRA, GTP dan sebagainya lagi) mampu mengekalkan kuasa pihak kerajaan yang sedang memerintah. Atau apakah segala daya usaha itu masih belum mampu menyakini rakyat kebanyakan. Sama-sama kita nantikan.

Berubah Lebih Baik

Sepotong pepatah Arab berbunyi, "beruntunglah sesiapa dari kalangan kamu yang hari ininya lebih baik daripada semalam". Pepatah  ini sebenarnya amat hampir dengan kehidupan kita seharian. Persoalannya, bagaimana kita mampu berubah? Apakah faktor yang mampu mendorong kita untuk berubah? Misalnya, kita berhenti bekerja di sebuah organisasi, dan mula bekerja di organisasi lain. Apakah matlamat kita hanya sekadar mencari pendapatan yang lebih besar? Atau ada matlamat lain yang lebih murni dan berwibawa? Pada hemat penulis, kita perlu berubah kerana kita perlu meningkatkan lagi kualiti diri kita ke tahap yang lebih baik. Perubahan itu tidak sekali-kali berfokuskan kepada faktor luaran daripada diri kita (seperti gaji lebih besar). Perubahan itu mesti mengutamakan kepada hasrat dan keinginan kita untuk menjadi lebih baik. Sebagai seorang pekerja kepada mana-mana organisasi sekalipun, kita perlu sentiasa berubah untuk jadi lebih baik kerana perubahan kita itu akan menyumbang kepada kejayaan organisasi yang kita wakili secara keseluruhannya. Kalau setiap pekerja dalam organisasi itu berkelakuan sama seperti kita itu, sudah barang tentu organisasi itu akan menjadi sebuah organisasi yang hebat. Kemudian, barulah datang ganjarannya; sumbangan yang lebih besar, peranan yang lebih dominan, pendapatan yang lebih baik, dan banyak lagi. Percayalah, dalam mana-mana seminar mahupun bengkel kendiri yang kita hadiri, "berubah" inilah yang perlu kata kunci kepada kejayaan yang besar. Perubahan ke arah yang lebih baik tidak perlu bermula dengan sesuatu yang besar. Mulakan dengan yang kecil dan mudah dahulu. Kemudian, barulah kita lakukan yang besar pula. Bersempena bulan Maulud yang mulia ini, marilah kita bersama-sama menganjak diri kita ini ke arah yang lebih baik dan berjaya!

Akidah atau Politik

Kita baru sahaja dikejutkan dengan peristiwa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu dan memeriksa sekumpulan orang Melayu yang hadir ke suatu majlis kesyukuran anjuran sebuah institusi bukan Islam. Pihak pentadbir kerajaan negeri pula dengan segera melarang sebarang komen dan ulasan dikeluarkan oleh mana-mana pihak kerajaan negeri khususnya Exco yang bertanggungjawab dalam hal ehwal orang-orang Melayu/Islam. Hal ini sangat menarik minat penulis. Apa yang berlaku ini amat signifikan dalam kita mengukur sejauh mana kita orang-orang Melayu, sensitif kepada nasib kita sebagai orang Melayu dan sebagai seorang penganut agama Islam. Pihak kerajaan negeri yang diterajui bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), nampak seolah-olah sedang berusaha "menyelamatkan keadaan". Di satu aspek, mengutamakan soal akidah adalah mandatori di sisi Islam, kerana telah ditegaskan betapa akibah adalah wajib dipertahankan walau dengan apa jua caranya. Tapi dari aspek satu lagi, hubungan mesra yang terjalin di kalangan rakan sekutu juga adalah penting dan diperlukan, tambah-tambah lagi dengan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) bakal menjelang tidak lama lagi. Sebagai seorang Muslim, dimanakah keutamaan kita, akidah atau rakan sekutu? Inilah persoalan yang amat sukar diputuskan oleh YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor. Pertimbangan serupa juga sedang membelenggu Parti Islam Semalaysia (PAS) selaku rakan sekutu kepada pentadbir kerajaan negeri. Biar apa jua tindakan kerajaan negeri, mahupun PAS, ingatlah betapa sesungguhnya rakyat sedang melihat situasi ini dengan amat teliti. Setiap keputusan dan tindakan kerajaan negeri mahupun rakan-rakan sekutunya sedang diperhatikan rakyat. Bagaimana isu yang sangat sensitif ini akan diuruskan oleh kerajaan negeri? Apa jua tindakan kerajaan negeri kelak, ia mencerminkan apakah kerajaan negeri sedia ada ini masih relevan untuk terus diamanahkan sebagai pentadbir atau sebaliknya. Sesungguhnya, rakyat sedang menilai!

Erti Merdeka

Beberapa hari lagi, Sambutan Bulan Kemerdekaan sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-54 akan bermula. Pada tahun ini, sambutan agak berbeza. Hari merdekanya jatuh pada hari pertama atau kedua Aidilfitri. Justeru bagi menghormati kedatangan Aidilfitri itu, sambutan kemuncaknya hanya akan dilangsungkan pada 16 September yang akan datang, serentak dengan Sambutan Hari Malaysia. Kerana inilah caranya kita meraikan kemerdekaan kita. Ketika berbual dengan seorang sahabat, penulis ditanya, "Man, apakah erti Hari Kemerdekaan pada diri kau?". Apakah dengan mengibarkan bendera besar di bangunan-bangunan, maka kita dikatakan sebagai seorang yang sangat patriotik? Apakah dengan memasang bendera kecil di kenderaan kita, megah berkibar-kibar ketika perjalanan, maka kita dikatakan juga telah patriotik? Atau apakah jika kita sama-sama menurunkan tandatangan pada sehelai kanvas putih "Malaysia Merdeka", baru dikatakan kita telah patriotik? Tidak dinafikan bahawa dengan memasang bendera, menurunkan tandatangan sokongan, menyanyikan lagu dan irama; zahirnya dapat menunjukkan rasa patriotik kita. Pada hemat penulis, itu belum mencukupi! Sebagai seorang pekerja (kepada mana-mana organisasi pun), rasa patriotik kepada negara harus diterjemahkan dalam konteks yang lebih besar dan bermakna. Kita harus menanam dalam diri dan fikiran kita, betapa kita harus bekerja dengan bersungguh-sungguh demi memenuhi aspirasi organisasi. Setiap organisasi yang tertubuh itu, adalah tidak lain tidak bukan adalah untuk memenuhi aspirasi negara. YAB Dato' Seri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia menggariskan bahawa Malaysia harus menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, dalam beberapa tahun mendatang ini. Ini bukan perkara kecil. Cabarannya cukup besar. Justeru, pelbagai pihak harus bekerja kuat untuk merealisasikan matlamat dan visi organisasi masing-masing. Tidak kiralah kita ini bekerja di sektor awam mahupun swasta. Semuanya sama sahaja. Bila matlamat dan visi organisasi masing-masing telah dicapai, sekaligus hasrat dan cita-cita negara juga akan dapat dicapai. Inilah patriotik yang lebih besar maknanya yang harus kita dokongi bersama-sama. Dengan segala usaha dan upaya yang kita ada, rasa patriotik itu pasti akan terus kekal di hati dan jiwa kita, InsyaAllah untuk selamanya - demi Malaysia tercinta. Dirgahayu Tanahairku!

Habit Menulis

Menulis adalah salah satu kegemaran penulis. Penulis lazimnya tidak berkira untuk menulis. Politik boleh, sosial boleh, kemasyarakatan boleh, dan apa sahajalah yang mampu menarik akal dan fikiran ini. Tetapi samada suka atau tidak untuk diakui, mengekalkan konsistensi menulis bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak cabarannya. Kekangan masa dek tugas-tugas hakiki di pejabat, kesibukan dengan tugas-tugas sambilan di sana-sini, belum mengambilkira masa dan tenaga untuk membantu isteri menguruskan hal ehwal keluarga dan rumahtangga, penglibatan dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, dan pelbagai perkara lagi; telah membuat penulis menjadi semakin jarang menulis, waima di laman blog ini! Biar apapun alasannya, kalau menulis itu ingin dijadikan habit, penulis (atau siapa jua yang ingin bergelar penulis) harus berubah. Dalam diri seseorang penulis, sememangnya ada banyak yang ingin dilontar keluar, dikongsi sama dengan khalayak. Justeru, bagaimana cara untuk kita terus kekal menulis khususnya di laman blog seperti ini? (1) Kita boleh menulis mengenai tips atau perkara-perkara yang ringkas sahaja. Tapi itulah, penulis amat jarang menulis yang ringkas-ringkas sahaja. Lazimnya, segalanya ingin dituliskan. Tidak selesa rasanya kalau dikongsi sikit-sikit sahaja. (2) Tulis isi maklumat yang ingin dikongsi dalam bentuk senarai. Tetapi, bagaimana hendak sekadar disenaraikan sahaja. Ada pelbagai hujahan dan tafsiran yang ingin disampaikan. Bagaimana mungkin, idea yang ingin dinyatakan itu dapat dizahirkan sejelas-jelasnya jika tiada penerangan yang berkaitan dengannya. (3) Gantikan menulis dengan imej atau gambar. Ada pepatah lama, "picture worth a thousand words". Tapi, bagaimana maksud dan intipati yang ingin kita sampaikan akan kesampaian kepada fikiran khalayak. Ambil contoh mudah - "pokok"! Ada orang melihat gambar pokok sebagai simbol kepada usaha menghijaukan dan melestarikan bumi. Tapi, gambar pokok juga bermakna wang di mata orang lain - kontraktor pembalakan! Nah, bagaimana gambar boleh menggantikan kata-kata? (4) Paksa diri untuk sentiasa kemaskini laman menulis. Yang ini memang benar. Tanamkan dalam diri kita betapa menulis itu adalah satu wadah kita mengasah akal dan fikiran. Dengan bersandarkan kepada idea yang ada, kita perlu mentafsir dan menterjemahkannya kepada bentuk dan rupa yang berbeza, mengikut acuan dan persepsi kita, dan seterusnya dikongsikan dengan khalayak lain pula. Dengan demikianlah, barulah ilmu dan pengetahuan yang ada itu akan terus berkembang dan berkembang. Namun, dengan apa jua tipsnya untuk kita kekal dan konsisten menulis, kalau kita tidak membaca, pasti ianya menjadi lebih sukar lagi.

Sejarah Kita

Baru-baru ini, Tan Sri Muhyiddin Bin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia (yang juga Menteri Pelajaran Malaysia) telah mengumumkan bahawa matapelajaran Sejarah dijadikan syarat asas untuk mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pengumuman itu telah meletakkan kepentingan matapelajaran Sejarah sebagai sebaris dengan matapelajaran Bahasa Melayu. Dalam erti kata lain, calon-calon SPM hendaklah memperolehi kelulusan dalam matapelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah sebelum dapat dianugerahkan dengan SPM. Apa yang menjadi perhatian penulis dalam hal ini pula ialah, “Apakah isi kandungan dalam matapelajaran Sejarah telah tersedia mantap dapat mengukuhkan jati diri dan citra para pelajar kita menjadi seorang rakyat Malaysia baik?”. Misalannya, dalam konteks penerimaan kepada isu “kontrak sosial”, rujukan penulis mendapati penerangan yang disediakan berkaitan dengan “kontrak sosial” dalam buku teks Sejarah SPM hanyalah dalam beberapa baris ayat sahaja! Apakah dengan penerangan yang “sebanyak” itu, maka para pelajar kita dapat memahami konsep dan maksud “kontrak sosial” yang dipersetujui bersama seawal kemerdekaan dahulu. Adakah selepas mereka dapat menghafal dan menuliskan semula ke dalam skrip jawapan peperiksaan (itupun jika topik ditanya dalam peperiksaanlah), maka para pelajar kita akan dapat menghayati dan seterusnya menerima asas-asas dalam “kontrak sosial” itu dengan seredhanya. Penulis bukanlah bersikap pesimis, tetapi rasanya ia tidak mungkin berlaku. Justeru, usaha mewajibkan matapelajaran Sejarah untuk diduduki dan lulus adalah suatu tindakan yang sangat bertepatan dengan situasi semasa. Sementara itu, isi kandungan dalam matapelajaran Sejarah itu pula perlu disemak semula, dan seterusnya ditambahbaik bagi memastikan ia mampu membentuk citra dan jati diri di kalangan para pelajar kita sebagai seorang rakyat Malaysia yang baik. Jika ini dapat dilaksanakan, penulis percaya bahawa kita mungkin tidak lagi akan mendengar ada di kalangan rakyat Malaysia yang mengkritik Raja-raja Melayu, mempertikaikan ekuiti dan pemilikan Bumiputera, mempersoalkan hak-hak orang-orang Melayu dan sebagainya. [Kepada semua guru matapelajaran Sejarah, bersedialah dengan beban yang sedang menunggu :)].

Melaka Maju

Semalam, Melaka telah diisytiharkan sebagai “Negeri Maju”, sepuluh tahun mendahului sasaran pencapaian di peringkat kebangsaan - Wawasan 2020! Sekilas akal, tiada apapun yang istimewa dengan pengisytiharan ini. Penulis teringat pada Mac 2009, dalam Persidangan Agung UMNO, Datuk Seri Haji Mohd Ali Mohd Rustam telah didapati hilang kelayakan bertanding kerana disabitkan salahlaku tatatertib pemilihan (sebagaimana keputusan Jawatankuasa Disiplin parti). Ia suatu keputusan yang sangat mengecewakan, bak luahan kata Tan Sri Mohamad Isa Samad, "... ianya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata atau lukisan, ...". Dengan terlepasnya peluang bertanding (yang memungkinkan Mohd Ali memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO) tidak sesekali menyebabkan Mohd Ali mengkhianati partinya. Beliau kekal setia, bahkan menggandakan sumbangannya kepada parti. Musibah yang melanda dijadikan cabaran untuk mencapai kejayaan yang lebih baik. Berbekalkan kepimpinan dan dedikasi beliau, akhirnya Melaka diisytiharkan sebagai Negeri Maju! Pencapaian ini pastinya jauh meninggalkan rakan-rakan sejawatan beliau di negeri-negeri lain. Bukan untuk membodek (kerana penulis bukanlah sesiapapun kepada Mohd Ali), Mohd Ali adalah yang terbaik dari kalangan mereka. Sesungguhnya, benarlah kata-kata hukama, "setiap yang berlaku, ada hikmahnya". Terimalah seadanya.

Raja Kita

Akhir-akhir ini, kekusutan yang sedang melanda Istana Kelantan telah menjadi pilihan utama dada-dada akhbar negara. Samada mahu diakui atau tidak, apa sahaja yang dipaparkan semakin kusut dan serabut. Berita-berita itu hanya semakin memperbanyakkan pertanyaan dan sekaligus spekulasi di kalangan rakyat jelata. Apa sebenarnya yang sedang melanda Keluarga Diraja Kelantan itu? Mana pihak yang benar, mana pihak yang betul, tiada siapa dapat meneka. Penulis mempunyai beberapa pertanyaan khususnya kepada Ketua-ketua Pengarang akhbar-akhbar dalam negara kita ini. (i) Tidakkah dengan menyiarkan satu persatu cerita Istana Kelantan, rakyat akan semakin nampak kepincangan yang mungkin sedang berlaku (sekiranya berlakulah)? (ii) Adakah kepincangan yang semakin terbongkar ini tidak akan menjejaskan kehormatan dan kedaulatan istitusi beraja yang semakin terhakis kehormatannya? (iii) Adakah dengan pembongkaran (yang tampak semacam terancang ini) terhadap konflik Istana Kelantan ini adalah bertujuan untuk melariskan akhbar masing-masing? (iv) Apakah air muka DYMM Tuanku Sultan Kelantan tidak terjejas di mata rakyat jelata Kelantan? Penulis kira, cukuplah pertanyaan-pertanyaan itu untuk difikirkan sedalam-dalamnya oleh mereka. Apa yang penulis kesalkan ialah, ramai di kalangan kita kadang-kadang "terlupa di mana bumi kita berpijak ini". Kepada mereka yang ada "kuasa untuk berbuat sesuatu", berbuatlah sesuatu sebelum nasi menjadi bubur, kerana apa yang sedang berlaku ini, sesungguhnya cukup "menghiburkan" "mereka yang selama ini telah tanpa segan dan silu memperlekeh dan menghina istitusi beraja (Raja-raja Melayu) kita". Cukuplah sahaja jika mereka sahaja telah memijak dan menidakkan kedaulatan raja-raja Melayu kita. Takkanlah kita yang darah dan jiwa Melayu ini juga ingin turut bersama mereka untuk "mentertawakan" raja-raja kita? Dengan akal yang waras dan bijaksana, fikirkanlah... (Tulisan ini bukanlah disediakan hanya kerana penulis adalah rakyat kepada DYMM Tuanku Sultan Kelantan, tetapi kerana penulis merasa sedih dengan sikap kita - orang-orang Melayu yang semakin lupa)

Kita Yang Memilih

Ketika artikel ini sedang ditulis, penduduk Hulu Selangor masih mempunyai beberapa jam masa untuk mendengar segala janji daripada pasukan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Kemudian, mereka akan berehat seketika, tentunya sambil menimbang-nimbang siapakah yang akan mereka pilih di esok pagi. Penulis tidak bercadang untuk membincangkan janji dan manifesto BN mahupun PR. Cuma sesiapa jua yang terlibat dalam Pilihanraya Kecil sebenarnya amat beruntung. Sebelum sesuatu PRK itu berlangsung, pelbagai pihak akan turun padang menjenguk rakyat jelata. Baik di pihak penyandang jawatan, mahupun di pihak lawan. Perkara ini tidak mungkin berlaku di musim Pilihanraya Umum. Sememangnya, penduduk di sesuatu kawasan PRK itulah yang beruntung. Tetapi janganlah kerana layanan "hebat" yang diterima itu, kita lupa tanggungjawab kita untuk memilih seorang pemimpin yang seelok-eloknya. Ingat, pemimpin itulah yang mewakili kita di Parlimen nanti. Media massa sering menyiarkan kegelisahan (kekesalan?) orang-orang Pulau Pinang (khususnya kaum Melayu) dengan layanan yang mereka terima daripada kerajaan negeri yang memerintah. Pelbagai tindakan keraaan negeri dikatakan tidak lagi membantu mereka. Setiap kali cerita Pulau Pinang ini tersiar, penulis hanya terfikir, "Siapa yang pilih seorang itu menjadi pemimpin mereka?". Kepada penduduk Hulu Selangor, "tanya diri sendiri, jawablah sendiri"! [Kenyataan ini tidak semestinya dapat menggambarkan parti siasah yang disokong penulis]

Berubahlah di Tahun Baru

Rasanya belum terlambat untuk penulis mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2010 kepada semua. Memang lazimnya semua orang akan bertanya, "Apa azam kau di tahun baru?". Tetapi penulis tidak berhasrat bertanyakan soalan-soalan serupa, sebaliknya penulis ingin memulakan penulisan ini dengan mengajak kita semua untuk berubah ke arah yang lebih baik berbanding dengan tahun sebelumnya. Apa yang berlaku dalam Sidang Parlimen bagi meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 (dipanggil juga Bajet 2010) akhir tahun lepas cukup mengejutkan. Kelebihan undi 66-63 berbanding pembangkang merupakan antara suatu "rekod terhebat" yang bakal terpahat dalam sejarah bersidangnya parlimen negara kita ini. Mengapa ia boleh berlaku, sedangkan bilangan ahli parlimen kerajaan adalah 137 berbanding 85 di pihak pembangkang? Penulis terfikir mungkin ada beberapa sebab. Penulis percaya bahawa "rekod terhebat" sebegini tidak akan berlaku jika seseorang wakil rakyat (parlimen) yang dipilih rakyat dapat melihat peri-pentingnya suara mereka dalam menentukan dasar dan halatuju pentadbiran kerajaan yang memerintah. Ia berlaku mungkin disebabkan oleh kesilapan kita semua dalam membuat keputusan (politik) sejak awal lagi. Apakah kita memilih wakil di dalam parti yang kita sokong kerana ketokohan dan kebijaksanaan seseorang individu itu? Atau kerana beliau adalah seseorang yang paling pandai melayan kehendak dan kemahuan kita? Apakah kriteria penting yang dijadikan asas dalam kita menentukan siapakah yang patut menjadi wakil kita nanti. Kesilapan memilih wakil kita pasti menyebabkan hak dan suara kita diabaikan. Di negeri Johor (negeri yang lazimnya parti UMNO akan menang dengan selesa sekalipun) misalnya, ahli-ahli UMNO mestilah berfikir banyak kali apabila setiap kali menghadiri mesyuarat-mesyuarat cawangan mereka. Ketua cawangan yang terpilih tu pula mesti berfikir berpuluh kali pula bila hadir ke mesyuarat-mesyuarat bahagian. Dengan mengikut amalan sedia adalah, akhirnya wakil-wakil kita mengabaikan amanah yang dibebankan di bahu mereka. Kalau ada yang bertanya, "Siapa yang bersalah dalam isu ini?", penulis merasakan yang bersalah adalah kita sendiri - rakyat di peringkat akar umbi kerana salah memilih wakil kita dengan bijaksana. Di sebuah negara jiran terdekat, perkara sebegini tidak berlaku. Kebetulan pula hampir 95% daripada wakil-wakil rakyat yang mereka pilih mempunyai Ijazah Doktor Falsafah! Kata orang, tinggi ilmunya, bijaksana akalnya... (Catatan ini tidak semestinya dapat menggambarkan parti siasah yang disokong/akan disokong penulis).

Adam, Aidil, Aliya dan Nur

Menonton television adalah salah satu hobi penulis. Namun, jarang sekali penulis dapat mengekalkan konsistensi dalam mengikuti episod demi episod sesebuah drama atau telenovela tempatan. Boleh dikatakan hampir kesemuanya gagal diikuti penulis. Namun kini segalanya berubah. Sebuah telenovela terbaru di sebuah television swasta berjaya mengikat janji penulis untuk terus mengikuti episod demi episodnya. Jumaat malam adalah malam yang dinanti-nantikan di setiap minggu (bukan hanya kerana esoknya dan lusanya - Sabtu dan Ahad adalah hari cuti), tetapi kerana malam itu, Nur Kasih akan bersiaran. Bagaimana perspektif penulis terhadap drama-drama sebelum ini telah berubah? Drama ini cukup menyentuh perasaan. Pelbagai isu diketengahkan untuk dijadikan iktibar buat kita semua. Kepatuhan kepada orang tua adalah titik tolak kepada gelora yang melanda. Apakah keputusan si bapa mengahwinkan anak lelakinya yang nakal dengan seorang gadis baik adalah tepat? Memang antara niatnya (yang dapat ditafsirkanlah) adalah untuk mengubah perangai dan tingkahlaku anak lelakinya agar dapat menjadi seorang anak yang solehah, namun apakah ia adalah strategi terbaik? Persoalan ini dilontarkan kerana selepas perkahwinan itu berlaku, banyak hati yang terluka dan merana. Ada yang terpaksa berkorban demi memberi ruang kepada kebahagiaan orang lain, biarpun jiwa terseksa. Hmm, cukup menyesakkan rasa. Betul, memang penulis amat memilih untuk mengikuti siri-siri drama tempatan dan antarabangsa, namun Nur Kasih ini cukup berbeza. Spa-Q, Bella, Manjalara atau apa jua jodolnya, tiada yang mampu menandingi drama ini. Masakan tidak, selepas lima minit tamatnya Episod 24, sebanyak 534 komen/respon telah terkumpul di laman blog rasmi Nur Kasih! Hebat... Penulis merasakan inilah suatu hiburan yang patut kita tengok demi sentiasa menyucikan hati kita agar menjadi teladan dan sempadan dalam kehidupan seharian kita. Bukankah Nabi Besar Muhammad s.a.w. pernah bersabda, bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati adalah diharuskan dalam Islam. [Catatan : (i) Artikel ini disediakan sambil penulis mengikuti Episod 24. (ii) Penulis semacam tidak mampu bersabar lagi untuk mengetahui apa sudahnya episod cinta lara Adam, Aidil, Aliya dan Nur ini. (iii) Penulis akan terus mengikuti Nur Kasih sehingga tamat - dengan izin Allah!]

Kalah Bola (dan Harga Diri)

Akhirnya Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia Edisi ke-84 tahun 2009 dengan bergayanya. Kemenangan 3-1 ke atas Kelantan telah menamatkan penantian mereka sejak sekian lama. Penulis tidak berminat pun untuk mengulas kemenangan Negeri Sembilan atau kekalahan Kelantan itu. Memang adat permainan, ada yang menang dan ada yang kalah. Namun setelah tamatnya perlawanan itu, rata-rata membincangkan perihal tingkah laku penyokong Kelantan berbanding kemenangan pasukan Negeri Sembilan, mahupun kekalahan pasukan Kelantan itu sendiri. Penulis tidakpun berada di stadium menyaksikan perlawanan tersebut; di kedai mamak pun tidak, hanya sekadar mendengar sekali sekala melalui siaran radio kerana penulis mempunyai urusan lain (lagipun penulis bukanlah peminat bolasepak sangat pun). Sebagai orang Kelantan, penulis merasa keliru dengan sikap orang kampung penulis sendiri. Ketaksuban terhadap pasukan yang ditunjukkan oleh penyokong agak melampau dan ekstrem. Apakah perlu kita bersikap demikian? Perbuatan membaling botol air ke arah pemain pasukan lawan, meletupkan mercun di tengah padang dan lokasi penyokong lawan, mencaci mencerca, ejek mengejek dan anjing menganjing; bukanlah sesuatu yang dialu-alukan dalam situasi pertandingan yang sihat. Apakah dengan sikap demikian, kita dapat membuktikan bahawa kita adalah “gedebe” (terhebat) di kalangan mereka. Itu bukan menunjukkan kita terhebat, tapi mungkin biadap! Penulis percaya selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersidang, suatu keputusan (lebih tepat, hukuman) akan diambil terhadap pasukan Kelantan. Kita tentu masih ingat bagaimana Liverpool, antara pasukan tersohor dalam English Primier League dikenakan hukuman bermain tanpa penonton untuk suatu tempoh masa yang cukup panjang. Selepas itu barulah mereka faham apakah ertinya “penyokong yang baik”! Penulis percaya, jika hukuman serupa dikenakan kepada Persatuan Bolasepak Amatur Kelantan (KAFA). Natijahnya, arena bolasepak Kelantan pasti akan muram dan malap. Ramai pemain-pemain Kelantan yang berbakat akan berhijrah meninggalkan Kelantan, sekaligus tidak dapat berbakti kepada negeri kelahiran mereka sendiri. Persatuan tidak akan mempunyai sumber kewangan yang cukup, kerana tiada penonton yang dibenarkan hadir ke stadium pada setiap perlawanan. Tambah pula jika hukuman turut melibatkan aspek penajaan dan sumbangan oleh FAM kepada KAFA. Sah-sah KAFA boleh muflis/bangkrap! Siapa yang rugi, orang-orang Kelantanlah. Kita tidak mengatakan bahawa “assobiyah” tidak perlu dalam kelompok kita, tetapi janganlah ketaksuban terhadap semangat ke“Kelantan”an itu mengatasi segala-galanya; kerana ia bukanlah lesen untuk kita bertindak sewenang-wenangnya - ganas dan ekstrem. Nampaknya arahan pihak berkuasa yang menetapkan penyokong pasukan Kelantan masuk ke stadium melalui pintu hijau masih gagal difahami maksudnya. YAB Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang malu dengan kejadian itu turut melahirkan kekesalan beliau dalam perkara ini. Siapa agaknya dari kalangan penyokong-penyokong Kelantan yang sanggup tampil berjumpa YAB Nik Aziz memohon maaf di atas apa yang berlaku. Kepada sesiapa jua yang menyokong Kelantan (termasuklah penulis), sama-samalah kita tunggu, apakah hukuman untuk KAFA, dan pasukan Kelantan. Ingatlah, jangan sampai ada orang Kelantan yang malu untuk mengaku bahawa mereka adalah “ore Kelate”.

Untungnya Kereta Lama

Semenjak pengumuman Bajet 2010 oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib Hj Abdul Razak tempohari, rakyat kebanyakan mulai merasa gelisah. Ini adalah ekoran salah satu langkah yang akan diambil kerajaan sebagai salah satu komponen dalam Dasar Automotif Negara (DAN). Memang tidak dinafikan bahawa DAN bertujuan untuk mempertingkatkan kebolehan sektor automatif negara ke tahap lebih tinggi, tetapi apakah perlu pula sebahagian rakyat kebanyakan turut sama terkena tempiasnya. Semua kenderaan berusia 15 tahun dan ke atas lazimnya ada di kawasan luar bandar. Jarang sekali kenderaan sebegini berada di bandar-bandar besar. Yang memilikinya pula terdiri dariapada rakyat berpendapatan rendah. Ada yang bekerja sebagai petani, peladang, penternak, kerja kampung, dan seumpamanya. Tetapi apabila perkara ini dikuatkuasakan, tentulah mereka akan rasa terbeban. Sememangnyalah apabila sesebuah kenderaan tersebut ingin menjalankan pemeriksaan di Puspakon Sdn Bhd, tentulah sejumlah caj akan dikenakan. Andaikan caj yang bakal dikenakan adalah RM50 bagi setiap pemeriksaan. Dengan bilangan kenderaan dalam kategori tersebut berjumlah 2.7 juta unit, pihak Puspakom akan dapat membuat kutipan sebanyak RM135 juta keseluruhannya. Andaikan juga bahawa terdapat 30% daripada keseluruhan kenderaan tersebut perlu membuat pemeriksaan buat kali kedua (kerana gagal pada kali pertama - maklumlah, kenderaan dah berumur), berlaku lagi tambahan kutipan sebanyak RM40.5 juta. Ini menjadikan jumlah pungutan tahunan untuk mereka adalah sebanyak RM175.5 juta. Secara purata, didapati bahawa Puspakom akan memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM14.625 juta sebulan atau RM487,500 sehari. Itu adalah suatu jumlah yang cukup lumayan. Pendapatan ini belum lagi diambilkira dengan caj-caj lain yang akan dikutip oleh mereka. Dalam hal ini, kerajaan dan pihak berwajib perlulah mengkaji semula perkara ini. Adakah pelaksanaan peraturan baru itu adalah bertujuan untuk "menggalakkan lagi perkembangan sektor automatif negara" atau "menggalakkan lagi perkembangan sektor automatif negara dan menekan rakyat kebanyakan"? Marilah kita fikirkan bersama. [Sebagai perbandingan : Sekiranya caj RM10 dikenakan bagi setiap pemeriksaan, pendapatan kasar keseluruhan ialah RM27.081 juta setahun (termasuk RM81,000 bagi 30% pemeriksaan kali kedua), atau RM2,256,750 sebulan atau RM75,225 sehari).

Seorang Pensyarah

Sebaik masuk ke pejabat untuk memulakan tugas, penulis membuka suis komputer. Seketika kemudian, penulis terpandang artikel di laman web Yahoo! yang tajuknya, "10 Pekerjaan Terbaik di Amerika". Apa yang menarik perhatian penulis ialah jawatan di kedudukan ketiga - "Professor College" atau dalam bahasa mudahnya ialah Pensyarah Kolej/Universiti. Penulis tidak bercadang untuk mengulas berapa gaji maksimum yang mungkin mereka perolehi. Cuma ia menjelaskan bahawa pekerjaan itu dapat menyediakan ruang pekerjaan berdasarkan bidang kepakaran masing-masing. Ini akan memberikan keselesaan kepada seseorang Pensyarah khasnya dari aspek skop tugas. Ini kerana apa yang mereka lakukan itu adalah sesuatu yang ada dalam ruang lingkup kepakaran dan pengetahuan mereka. Pekerjaan sebagai Pensyarah memberikan ruang yang luas kepada mereka untuk menambah nilai dan mengembangkan tahap penguasaan pengetahuan sedaia ada mereka. Ini berbeza dengan senario jika anda seorang Eksekutif Pemasaran dengan kelayakan ikhtisas bukan Pemasaran. Ia akan menjadi sukar kerana mereka perlu belajar sesuatu yang baru untuk memenuhi komitmen tugas yang sedang disandang, berbanding apa yang telah dipelajari semasa di universiti/kolej. Selain itu, bagi menjawat jawatan Pensyarah, adalah menjadi suatu keperluan untuk memiliki kelayakan ikhtisas tertinggi dalam hirarki keilmuan iaitu dengan memiliki Ijazah Doktor Falsafah atau PhD. Inilah cabaran sebenar yang perlu dihadapi oleh seseorang Pensyarah. Dengan bergelar Dr, seseorang Pensyarah itu telah meletakkan dirinya dalam kelompok manusia yang terbaik di kalangan mereka yang kebanyakan. Tidak ada yang berkekalan selepas tiadanya kita di alam fana ini melainkan tiga perkara, (i) sedekah jariah, (ii) ilmu yang bermanafaat dan (iii) doa anak-anak yang soleh. [Catatan ini adalah sekadar peringatan kepada diri penulis sendiri atau siapa jua yang bergelar Pensyarah].

Kisah Pendakwah

Berita penahanan Yang Berbahagia, Dr Asri Zainul Abidin, mantan Mufti cukup mengejutkan penulis. Peristiwa "bersejarah" ini membuktikan pengalaman bertugas sebagai Mufti kepada Kerajaan Negeri Perlis iaitu setelah dilantik sendiri oleh Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja Perlis pun belum boleh dianggap sebagai layak sebagai pendakwah di negara kita ini. Untuk menjawat jawatan Mufti, ia bukanlah sesuatu yang mudah sebagaimana jawatan-jawatan lain dalam kerajaan. Tanggungjawabnya di dunia cukup berat, apatah lagi natijahnya di akhirat lagi berat. Prof Dr Wahbah azZuhaili dalam Fiqh Islami menyatakan bahawa seseorang yang menjawat jawatan Mufti mestilah, (i) menguasai bahasa Arab, (ii) menguasai ulum al-Qur’an, (iii) menguasai Ulum Hadis, (iv) menguasai Usul Fiqh, (v) Maqosyid syarak, (vi) Fiqh al-waqe’, (vii) Ijma’, (viii) Kecerdikan dan ketajaman akal, (ix) Kewibawaan (akhlak dan sahsiah), dan akhir sekali (x) Adil. Syarat-syarat tersebut cukup menjelaskan bahawa seseorang Mufti adalah cukup ilmunya, cukup akhlaknya, cukup sahsiahnya; apatah lagi untuk menjadi seorang pendakwah. Apa yang berlaku ini sebenarnya memalukan Islam itu sendiri. Apakah wujud piawaian berbeza antara Islam di Perlis dan Islam di Selangor? Apakah Islam di Kelantan pula adalah Islam Pas? Sebagai sebuah negara yang berpegang kepada fahaman Sunnah Wal Jamaah, ketua-ketua agama Islam di peringkat negeri dan negara mestilah duduk semeja berbincang bagaimana penyelarasan amalan berkaitan pelaksanaan keagamaan dapat diseragamkan dengan lebih sempurna. Berlapang dadalah sesama umat Islam. Elakkanlah kejadian-kejadian yang memalukan Islam itu sendiri. Ingatlah, orang lain sedang ketawakan kita! Kepada Dr Asri, bersabarlah, kerana cabaran Rasulullah s.a.w. dalam mengembangkah dakwah Islamiah pada suatu ketika dahulu jauh lebih hebat dari apa yang sedang berlaku ini. [Catatan : Penulisan ini dibuat di atas dasar penulis adalah seorang Islam dan tidak semestinya penyokong Dr Asri].

Chua atau Liaw

Semalam, Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) mengumumkan bahawa Dato' Seri Chua Soi Lek, mantan Timbalan Presiden MCA adalah masih memegang jawatan tersebut secara sah di sisi perlembangaan parti dan undang-undang. Berita itu telah disambut sinis oleh Datuk Seri Liaw Tiong Lai, Naib Presiden yang dilantik ke jawatan Timbalan Presiden bagi menggantikan Chua. Senario ini cukup mengharu-birukan parti terbesar bagi kaum Cina ini. Selaku salah sebuah tunjang dalam pembentukan kerajaan Barisan Nasional, kekalutan demi kekalutan yang melanda MCA bukanlah sesuatu yang baik khususnya kepada kerajaan yang sedang memerintah. Perbincangan dalaman di kalangan pemimpin dan ahli parti nampaknya tidak membuahkan hasil yang baik dan tuntas. Apa yang menonjol hanyalah masing-masing mengutamakan kepentingan diri demi jawatan dan kedudukan dalam parti/Barisan Nasional/kerajaan; berbanding dengan keutuhan parti. Penulis percaya, kalau MCA bercadang untuk mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan kekalutan terkini ini, ianya pasti tidak akan selesai. Pada hemat penulis, sampailah masanya jika YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak mengambil tindakan sewajarnya - campurtangan dalam memperbetulkan masalah MCA. Ahli-ahli MCA tidak boleh melenting dengan cadangan penulis ini, kerana peluang telahpun diberikan oleh YAB Perdana Menteri tidak lama dulu. Tapi dek kerana jawatan dan pangkat, keutuhan dan kestabilan parti diketepikan. Jikalah masalah ini berlarutan, penulis percaya bahawa kaum Cina pasti akan hilang kepercayaan kepada parti MCA; dan tidak mustahil jika mereka beralih angin kepada parti Gerakan (atau lebih mengejutkan lagi kepada parti DAP)! Terpulanglah kepada MCA bagaimana untuk menentukan nasib mereka, kerana mereka sahajalah yang boleh mengubah nasib mereka. Penulis percaya, YAB Perdana Menteri hanya sedang menunggu ketika untuk bertindak jika MCA masih gagal menyelesaikan masalah mereka. Tempoh seminggu dua yang akan datang adalah suatu tempoh yang cukup menarik untuk ditunggu-tunggu oleh penulis.

Kad Kredit Dan Bajet

Beberapa hari yang lepas, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan Malaysia telah membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 (atau lebih popular sebagai Bajet 2010). Sebagaimana kelaziman sejak beberapa mantan Menteri Kewangan/Perdana Menteri Malaysia terdahulu, bajet telah dibentangkan dengan jayanya. Walau bagaimanapun, bajet bagi tahun hadapan ini adalah suatu bajet defisit, ekoran daripada kedudukan ekonomi dunia yang belum menentu. Cuma mungkin Malaysia agak bernasib baik kerana kadar defisitnya tidaklah seketara di sesetengah negara jiran Asia Tenggara. Sebagaimana orang lain juga, penulis turut ternanti-nanti akan pembentangan bajet tersebut. Dalam banyak-banyak perkara yang dinyatakan, ada seperkara yang ingin penulis kongsikan dengan semua. Pihak kerajaan mencadangkan agar cukai perkhidmatan sebanyak RM50 setahun atau RM4.17 sebulan akan dikenakan kepada setiap kad kredit (termasuklah kad-kad yang ditawarkan melalui pakej "percuma seumur hidup"). Penulis ingin melahirkan rasa tidak berpuashati dengan perkara tersebut. Memang idea asalnya ialah untuk menggalakkan perbelanjaan berhemah, tetapi mengapa penulis yang tidak mempunyai hutang kad kredit juga turut dikenakan cukai tersebut. Penulis memiliki kad tersebut atas dasar memudahkan urusan pembelian dan perbelanjaan. Penulis langsung tidak mempunyai hutang tertunggak. Penulis mengamalkan perbelanjaan mengikut kemampuan, dan bukannya berbelanja mengikut kemahuan! Mengapa amalan perbelanjaan berhemah penulis turut "dihukum" dengan bajet baru ini. Sepatutnya, mereka yang mempunyai hutang tertunggaklah yang patut dikenakan cukai tersebut. Dan sekiranya benar perkara ini yang akan dilaksanakan, penulis tidak akan teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan kad kredit yang sedang penulis miliki. Dalam hal ini, pihak yang rugi ialah Maybank, American Express dan VISA yang bakal kehilangan seorang lagi pelanggan mereka yang pasti akan berbelanja setiap bulan tanpa hutang tertunggak!

Baik Berpada-pada

Ketika sebahagian rakyat Malaysia sedang bertungkus lumus menolong dan membantu mangsa gempa bumi di Sumatera, terdapat segolongan rakyat Indonesia lain sibuk memprovokasi Malaysia. Rentetan daripada ketidakpuasan hati mereka terhadap lagi Terang Bulan (menjadi lagu kebangsaan Negaraku), kesilapan penyiaran Tarian Pendet sebagai tarian Malaysia oleh sebuah rancangan dokumentari luar negara, serta kes-kes terpencil berkaitan penderaan terhadap tenaga kerja Indonesia; mereka mengancam untuk menggugat kehormatan Kedutaan Malaysia di Indonesia, dan mungkin sekali akan "menyerang" Malaysia jika perlu. Penulis merasa sangat terkejut dengan respon terbaru mereka ini. Semua permasalahan telahpun diberikan penjelasan oleh pihak kerajaan Malaysia melalui pertemuan wakil-wakil media kedua-dua negara baru-baru ini. Tetapi nampaknya ia tidak membawa kesan yang positif terhadap hubungan kedua-dua negara. Penulis berpendapat bahawa hubungan antara Malaysia-Indonesia adalah semakin keruh. Penulis bukan melihat dari aspek diplomatik, tetapi aspek hubungan sebenar yang berlaku antara rakyat Indonesia terhadap rakyat Malaysia yang sedang berurusan di sana. Apakah dengan perkembangan terkini ini, rakyat Malaysia yang berkunjung ke sana akan memperolehi jaminan keselamatan daripada ancaman rakyat tempatan? Adakah anak-anak kita yang sedang belajar di sana akan selamat dan tidak terancam? Adakah sukarelawan kita yang sedang berbakti di sana selamat dan diterima baik oleh rakyat tempatan? Penulis tidak bercadang untuk menghuraikannya dengan lebih panjang. Biarlah kita sama-sama berfikir, apakah Indonesia (rakyat mereka khususnya) adalah rakan serumpun kita yang baik atau tidak. Kalau difikirkan mudah, tidaklah perlu lagi kita bersama mereka. Panggil balik semua pelajar kita dari sana. Pindahkan mereka ke sistem pendidikan dalam negara atau ke negara-negara lain yang lebih berhemah dan mesra. Ubah kecenderungan pelancongan rakyat kita dari negera Indonesia ke negara-negara serantau lain. Tamatkan secara berperingkat-peringkat segala usaha dan kerjasama (samada dalam perniagaan, perkhidmatan, komunikasi, dan sebagainya) dengan pihak Indonesia. Saya percaya, survival Malaysia adalah tidak akan terjejas sedikitpun dengan sedikit tindakan ini. Penulis bukannya mencadangkan agar Malaysia bermusuhan dengan Indonesia, cuma mungkin sudah sampai masanya kita "merenggangkan" sedikit hubungan itu. Penulis fikir, "tidak perlu kita terlalu mesra dengan mereka, jika kita tidak dihargai oleh mereka, biarpun adalah rakan serumpun kita".

Marhaban Syawal

Beberapa malam Syawal ini, penulis dan ahli-ahli kariah telah mengikuti rombongan marhaban ke beberapa rumah ahli. Program ini berlanjutan untuk beberapa hari sehingga semua rumah yang berhajat dapat dikunjungi. Memang meriah. Dan ia mampu mengeratkan hubungan sesama kami seperjiranan ini. Namun amalan ini sangat berbeza dengan negeri asal penulis, di mana ia bukanlah suatu kelaziman. Di sana, marhaban hanya akan berkumandangan di rumah-rumah hanya apabila tibanya bulan Maulid sahaja. Kehadiran ke rumah tetangga hanyalah setelah mendapat undangan dari tuan rumah. Selesai sahaja bermarhaban (yang seringkali disertakan dengan bacaan berzanji), para tetamu akan dijamu dengan nasi berhidangan (makan beratlah). Selain itu, sambil tetamu bermarhaban, tuan rumah akan mengedarkan "bunga rampai" iaitu sejenis bau-bauan kepada semua tetamu. Bunga rampai itu adalah hirisan daun pandan dan helaian kuntum beberapa jenis bunga-bungaan; dan ia digaulrata dengan air mawar. Akhirnya ia dibungkus mudah dalam kertas tisu atau kain organza. Menarik bukan? Penulis sebenarnya tertunggu-tunggu, jika amalan bermarhaban dari rumah ke rumah, dapat disertakan pula dengan edaran bunga rampai. Tentu kenangan di kampung halaman dulu akan kembali segar dalam ingatan. "Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya" (Al-Ahzab, Ayat 56).

Berbaloikah "Comeback"?

Semalam, Timbalan Presiden UMNO telah mengumumkan bahawa calon pilihan BN/UMNO bagi Pilihanraya Kecil Bagan Pinang ialah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. Pemilihan beliau telah melahirkan rasa tertanya-tanya di fikiran penulis tentang keputusan pengundian yang bakal diperolehi kelak. Mohd Isa merupakan seorang ahli politik yang sangat hebat. Beliau pernah mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan hampir 22 tahun. Bagi sepanjang tempoh perkhidmatan beliau itu, sokongan rakyat terhadap kerajaan BN/UMNO amat baik. Ini dapat diterjemahkan melalui sokongan dan majoriti undi yang diperolehi oleh calon-calon BN/UMNO dalam setiap pilihanraya. Di atas kertas, kemenangan di PRK ini adalah pasti bagi Mohd Isa. Sokongan dan dokongan rakyat Bagan Pinang/Teluk Kemang terhadap beliau amat kukuh. Rekod perkhidmatan Mohd Isa di peringkat negeri dan nasional tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Namun, dalam rekod perkhidmatan yang baik itu, Mohd Isa masih perlu menyelesaikan suatu "masalah" - beliau pernah disabitkan dalam kes salah laku (politik wang) oleh jawatankuasa dalaman parti. Bagi ahli-ahli UMNO, kesilapan itu mungkin telahpun dimaafkan setelah Mohd Isa telah "direhatkan" dari aktiviti parti selama beberapa tahun. Tempoh hukuman itu sebenarnya telah menyebabkan peluang Mohd Isa bertanding ke peringkat tertinggi dalam parti dalam Pemilihan Agung telah terlepas. Mungkin, tiada lagi peluang keemasan sebegitu. Mudahnya, jika beliau tidak dikenakan hukuman itu, beliau mungkin bertanding ke jawatan Timbalan Presiden atau setidak-tidaknya Naib Presiden. Penulis percaya, beliau mampu memenangi salah satu jawatan tersebut. Tetapi, kesilapan itu pasti akan menjadi modal kepada parti pembangkang dalam kempen mereka kelak. Ahli UMNO pasti menyokong beliau. Tinggal sekarang ialah apa yang dimahukan oleh sejumlah "pengundi atas pagar". Apapun, politik adalah sesuatu yang cukup menarik untuk diperhatikan. Apa jua boleh berlaku dalam "politik(...)"!

Formula1Malaysia

YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak baru sahaja mengumumkan penubuhan Pasukan Formula 1 Malaysia. Ia adalah terdiri daripada gabungan kepakaran beberapa organisasi milik negara; Petronas, Lotus, Proton, Sepang International Circuit, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd dan Persatuan Permotoran Malaysia. Penulis merasa sangat teruja dengan keinginan tanpa batasan YAB Perdana Menteri ini. Dahulu, ketika YBhg Tun Dr Mahathir Mohamed merealisasikan Proton, ramai pihak merasa sangsi. Tetapi tidak kepada penulis. Hajat Tun Dr Mahathir pada ketika itu adalah untuk membangunkan sebuah kereta untuk kegunaan kita sendiri, dan bukannya untuk bersaing dengan sesiapa pun. Cuma setelah Proton Saga mencapai prestasi yang baik, barulah strategi Proton bertukar kepada pemasaran ke peringkat global. Tetapi berbeza dengan hasrat YAB Dato' Seri Mohd Najib ini. Beliau menginginkan sebuah pasukan lumba yang dari A hingga Znya adalah Malaysia. Membangunkan enjin, menguruskan pasukan, petugas pit perlumbaan, dan sebagainya lagi; mestilah rakyat Malaysia. Ini bukan kerja mudah. Langkah kita cukup berani. Bayangkan, kita akan membangunkan sebuah kereta lumba yang bakal menyaingi Ferrari, Mercedes Benz, BMW, Renault, Honda, Toyota dan entah apa lagi pasukan yang ada. Bunyinya macam mustahil. Tapi suka untuk penulis memetik kata-kata Tun Dr Mahathir suatu ketika dahulu, "Mana mungkin suatu kejayaan besar akan dapat dicapai, kalau tidak kita mulakan dengan langkah pertama". Air Asia yang dianggap mengarut suatu ketika dahulu, tetapi kini antara yang terbaik di dunia. Kepada pasukan Formula1Malaysia yang bakal dibentuk, diucapkan Selamat Maju Jaya. Sesungguhnya usaha ini amat luar biasa dan penuh dengan keberanian. Semuanya bermula apabila hati dan jiwa kita berkata, "Malaysia Boleh!" [Catatan : Penulis tidak sabar rasanya untuk mendapatkan replika kereta lumba pertama negara ini.]

Indahnya Aidilfitri

Minggu ini adalah minggu terakhir Ramadhan 1430H. Dengan kehadiran Syawal yang bakal tiba, tentunya semua sedang bersiap sedia. Para bapa misalnya sibuk memperbaiki dan mengecat rumah. Paling tidakpun, mengemas menyusun laman hadapan. Maklumlah, takkan nak dibiarkan berselerak bila menerima tamu nanti. Para ibu pula tentunya sedang giat melaksanakan tugas-tugas terakhir, menjahit langsir misalnya. Mereka juga pasti sibuk menyediakan kuih dan biskut. Anak-anak pula, tidak sabar lagi. Setiap hari asyik menghitung hari, "Berapa hari lagikah untuk menyambut Hari Raya?". Biarlah, kerana itulah cara kita menyambut hari raya. Yang penting, di hari raya janganlah kita lupa; (i) Berzikir kepada Allah (takbir, tahmid dan tasbih), (ii) Bermaafan sesama kita, (iii) Kunjung mengunjung keluarga dan rakan, (iv) Menjamu tamu sebagai cara bersedekah, dan sebagainya lagi. Bersempena dengan Aidilfitri ini, kami sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri. Segala salah silap dan makan minum, mohon dihalalkan dunia akhirat. Maaf Zahir Batin. Sesungguhnya Nabi Besar Muhammad s.a.w. pernah berpesan, "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun".

Ramadhan Lagi

Salam bertemuan semula buat semua! Penulis telah "berehat" panjang dari lapangan blog. Ini disebabkan oleh beberapa urusan besar yang terpaksa penulis dahulukan. Keinginan menaip di blog ini sebenarnya tidak pernah padam, cuma masa dan keperluan telah menjadi penentu. Bersempena Ramadhan ini, penulis ingin melahirkan syukur pada Allah s.w.t. kerana masih berpeluang sekali lagi untuk menyambut dan meraikannya dengan penuh keinsafan. Sempena bulan mulia ini, penulis ingin berkongsi sebuah cerita benar. [Hari Pertama : Ada seorang budak lelaki, begitu asyik memerhati Mamanya membuat kuih berbuka puasa - Buah Melaka a.k.a. Onde-onde. Timbul keinginan di hatinya untuk sama-sama menguli kuih itu. Tetapi dilarang Mamanya, kerana budak itu tidak berpuasa. Mamanya turut berkata, jika dia mahu juga menguli kuih itu sebagaimana kakaknya, dia mesti berpuasa. Budak itu bangun dan berlalu tanpa rasa puashati.] [Hari Kedua : Sekitar jam 2.00 petang, Mamanya menjemput budak lelaki itu dan adiknya dari rumah pengasuh mereka. Si pengasuh menyapa Mamanya sambil memberitahu bahawa budak lelaki itu masih belum makan sejak dari subuh pagi; mahu berpuasa katanya. Nanti dapat buat kuih berbuka. Mamanya yang terkejut menanyakan budak itu, mahu makan atau tidak, tapi jawabnya, dia kan puasa.] Sejak dari itu, budak lelaki itu terus berpuasa setiap hari, termasuklah hari ini (aktiviti bermain budak itu masih sama sebagaimana hari tidak berpuasa). Cuma selepas hari pertama berpuasa, Mamanya pasti tidak lupa mengejutkan budak itu untuk turut sama bersahur. Tapi malangnya, kenapa ramai lagi orang yang jauh lebih dewasa yang masih tidak berpuasa. Adakah mereka tidak percaya kepada janji Allah? Sesungguhnya, Allah s.w.t. mewajibkan puasa itu kerana di dalamnya ada kebaikan dan rahmat untuk kita semua. Kepada budak itu (Iman Naqiun); tahniah, kerana usia 4 tahun 2 bulannya itu bukan penghalang untuknya berpuasa.

Perpaduan Melayu

Akhbar perdana sedang sibuk melaporkan "kerajaan perpaduan". Idea tersebut bermula pada tahun lalu apabila Timbalan Presiden PAS, YB Hj Nasaruddin Mat Isa telah bertemu dengan Presiden UMNO ketika itu, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Penulis berpendapat bahawa pertemuan tersebut tidaklah menjadi suatu kejanggalan kerana YB Hj Nasaruddin adalah Pengerusi Lembaga Kerjasama PAS-PKR. Namun, kita mestilah sedia maklum bahawa setiap tindakan yang diambil oleh kedua-dua pihak sebenarnya mempunyai asas yang releven kepada situasi semasa. Biar penulis membawakan senarionya, tetapi penulisan ini bukanlah untuk mencadangkan penyelesaiannya; tetapi sekadar mengusik pemikiran kita bersama. Sekarang, orang Melayu berpecah kepada beberapa puak yang utama - UMNO, PAS dan PKR. Ini belum mengambilkira lagi sesetengah daripada mereka yang menganggotai parti-parti lain (PPP, DAP, AKIM atau lain-lain), serta yang tidak mendaftar dengan mana-mana parti. Orang-orang Cina pula mempunyai parti MCA, Gerakan dan DAP; yang mana sesetengahnya lagi mungkin mengganggotai parti-parti lain sebagaimana dinyatakan di atas tadi; atau tiada parti. Orang India pun sama, mereka ada MIC atau PPP. Bayangkan senario apabila semua orang Cina tanpa mengira parti mana mereka anggotai bergabung membentuk suatu perkumpulan! Adakah orang Melayu yang berpecah-pecah tersebut akan dapat menangkis gagasan yang dibawakan oleh orang-orang Cina yang telah bersatu itu? Jawapannya - TIDAK! Justeru, apa yang telah dilakukan oleh YB Hj Nasaruddin dan YBhg Tun Abdullah itu jelas menjadi isyarat kepada semua bahawa orang Melayu boleh bersatu, biarpun berbeza idealogi politiknya. Kenapa ia menjadi penting? Kerana melalui perpaduan seluruh orang Melayu ini sahajalah, survival orang Melayu dapat dipertahankan. Sikap untuk bergantung kepada peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia semata-mata tidak lagi memadai untuk menghadapi kehendak dan kemahuan bangsa-bangsa lain (sekiranya mereka bersatu). Maka, idea yang kini dihebohkan iaitu pembentukan kerajaan perpaduan (melibatkan YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan YB Datuk Seri Abdul Hadi Awang) bolehlah dianggap sebagai strategi yang tepat ke arah memastikan survival orang-orang Melayu - dalam erti kata sebenar.

Kematian Yang Pasti

Allah s.w.t. telah berfirman, "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalahkesenangan bagi orang-orang yang terpedaya" (Surah Al-Imran, Ayat 185). Sesungguhnya kematian itu adalah pasti! [Catatan ini disediakan bersempena mengingati kembalinya ke rahmatullah ibu penulis iaitu pada hari Selasa 26/05/2009]

N12 Penanti

YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Pengerusi Barisan Nasional telah membuat pengumuman bahawa BN tidak akan meletakkan calonnya untuk bertanding dalam Pilihanraya Kecil N12 Penanti. Keputusan itu dibuat di atas beberapa faktor, katanya; (i) kekosongan kerusi DUN tersebut adalah sebahagian mainan politik oleh Parti Keadilan Rakyat, (ii) perletakan jawatan oleh ADUN sebelum ini adalah bersifat untuk menyelesaikan masalah dalaman PKR, (iii) perletakan jawatan oleh ADUN tersebut adalah tidak termaktub dalam struktur Perlembagaan Malaysia; dan (iv) BN lebih mengutamakan kepada perkhidmatan kepada rakyat berbanding dengan bertanding dalam PRK tersebut. Apakah benar itu alasan-alasannya? Memang tidak dapat dinafikan bahawa apabila sesuatu PRK diadakan, pihak pemerintah perlu mengeluarkan sejumlah wang untuk menguruskan proses PRK tersebut. Ada rakan meneka-neka bahawa kosnya mungkin mencecah jutaan ringgit. Tetapi dalam soal ini, parti pemerintah tidak sesuai untuk menarik diri daripada bertanding. Inilah masanya parti memerintah berusaha untuk mendapatkan semula mandat rakyat di kawasan tersebut setelah terlepas dari genggaman melalui PRU ke-12 yang lepas. Alasan (i) dan (ii) harus ditafsirkan sebagai "bola tanggung" yang disediakan oleh pihak pembangkang kepada pihak pemerintah. Rugilah kalau pihak pemerintah tidak mengenakan "smash-jumping"! Alasan ke-(iii) pula tidak selazimnya telah menjadi prasyarat kepada mana-mana parti untuk bertanding merebut kerusi DUN yang kosong itu. Asal sahaja ada kekosongan, sesebuah parti berhak bertanding selagi calonnya memenuhi syarat-syarat SPR. Sementara itu, alasan ke-(iv) didapati kurang tepat. Bagaimana pihak pemerintah ingin berkhidmat kepada rakyat jika tiada wakilnya. Lihat contoh, apakah pembengunan yang boleh dibawakan oleh kerajaan Persekutuan ke Pulau Pinang apabila pihak pembangkang mendapat hak memimpin negeri tersebut? Satu per satu projek pembangunan yang dicadangkan untuk mereka dibekukan (atau lebih tepat, ditangguhkan sehingga kemenangan kepada parti pemerintah di masa akan datang). Perkara ini adalah biasa. Pada hemat penulis, kesemua alasan yang diberikan BN untuk tidak bertanding dalam PRK itu bukanlah suatu keputusan yang tepat. Pasti mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed akan kecewa dengan keputusan ini. Kecualilah jika keputusan sukar ini terpaksa diambil setelah BN tidak lagi sanggup menerima satu lagi kekalahan sebagaimana dalam beberapa PRK yang lepas. Apaun, tugas PKR kini lebih mudah, calonkan siapa sahaja yang mereka suka; langsung sebagai ADUN N12 Penanti!

Kemelut Semakin Kalut

Sehingga penulisan ini disediakan, apa yang bakal berlaku di Perak masih belum dapat dipastikan lagi - bahkan masih belum dapat dijangkakan! Keutuhan sistem demokrasi raja berpelembagaan tidak lagi tertegak sebagaimana sepatutnya. Penulis tidak bercadang untuk membincangkan siapakah yang betul dan siapakah yang salah dalam hal ini. Tetapi penulis ingin mengajak perhatian khalayak semua untuk meninjau semula bagaimana semua kekalutan ini berlaku. Kekalutan ini sebenarnya bermula apabila pihak kerajaan negeri Perak pimpinan YAB Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaluddin mengarahkan perpindahan/pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak. Tindakan tersebut telah mencetuskan polemik kepercayaan dan penghormatan terhadap institusi diraja Perak - Sultan Azlan Shah (SAS) selaku ketua tertinggi dalam hal ehwal berkaitan agama Islam di negeri Perak. Tindakan mempertikaikan SAS sebenarnya tidak boleh dibiarkan. Tetapi malangnya, pihak kerajaan tidak membuat apa-apa tindakan yang konkrit terhadap penghinaan yang berlaku tersebut. Ini memberikan gambaran bahawa kerajaan pada masa itu sebenarnya "tidak kisah" jika protes atau kritikan terhadap institusi diraja - SAS diteruskan. Justeru itu, tidak menghairankanlah jika satu demi satu pihak-pihak tertentu terus mengkritik SAS. Pada hemat penulis, inilah punca kepada segala kekalutan yang sedang berlaku di negeri Perak hari ini. Maka, segala tindakan yang dibuat oleh UMNO dan/atau Barisan Nasional selepas itu berhubung dengan kemelut di Perak ini hanyalah bersifat untuk memenuhi keperluan situasi semasa sahaja. Penulis berpendapat bahawa kemelut ini tidak mungkin berlaku dan seterusnya mencemarkan imej bersih demokrasi raja berperlembagaan yang kita dokong sekiranya, pihak kerajaan melaksanakan Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA) terhadap pencetus sebenar polemik ini pada awal-awal lagi (...). Kemelut ini adalah berpunca daripada sikap kerajaan yang tidak endah terhadap tindakan sesetengah golongan yang melampau. Adalah menjadi keperluan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk bijak membaca dan merangka strategi dalam menghadapi karenah golongan-golongan ini. Dalam permainan catur, kesilapan kita mengatur pasukan dari awal tentunya akan mengundang padah hingga ke akhirnya.

Guru dan Pensyarah

Semalam, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyempurnakan Sambutan Hari Guru tahun 2009 Peringkat Kebangsaan dengan temanya "Guru Pembina Negara Bangsa". Memang tidak dinafikan lagi betapa jasa guru cukup besar dalam mendidik anak-anak untuk menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan negara. Namun, penulis ingin mengajak khalayak untuk sama-sama memahami situasi berikut; "Guru-guru mengajar murid-murid di sekolah dengan tekunnya. Akhirnya berjayalah murid-murid itu dalam peperiksaannya. Seterusnya, murid-murid itu melanjutkan pengajian ke institusi-institusi pengajian tinggi. Belajarlah pula mereka dengan pensyarah-pensyarah di kolej-kolej/universiti-universiti, hinggalah mereka berjaya!". Siapakah sebenarnya "guru" yang diraikan oleh pihak kementerian itu tadi? Adakah guru itu adalah mereka-mereka yang bergelar guru di sekolah-sekolah (rendah dan menengah)? Jika demikianlah halnya, penulis merasakan bahawa golongan pensyarah (bidang akademik) dan pengajar (bidang kemahiran) atau seumpamanya yang lain; telah dilupakan peranan dan jasa mereka. Mereka tidakpun diraikan dengan Hari Pensyarah atau Hari Pengajar atau Hari (...)? Mungkin ada yang berpendapat, sambut sahajalah bersama-sama dengan Hari Guru, tapi penulis yakin, Pensyarah/Pengajar/(...) pasti tidak selesa untuk "menumpang" sambutan Hari Guru itu. Bukanlah menjadi keutamaan kepada mereka untuk mendapatkan bunga-bunga atau hadiah-hadiah daripada pelajar-pelajar mereka, tetapi sambutan itu sudah tentu akan menaikkan lagi semangat mereka untuk menjalankan tugas mereka. Kita harus ingat, peranan mereka bukan kecil. Tanpa peranan para Pensyarah/Pengajar/(...) ini, tidak mungkin murid-murid yang lulus dengan baik di peperiksaan Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, atau setaraf dengannya akan cemerlang dalam pengajian tertiar mereka. Justeru, mungkin wajar kita memikirkan untuk mengadakan sambutan Hari Pendidik, berbanding Hari Guru? Atau mungkin juga KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia duduk berbincang dan mencadangkan suatu sambutan yang turut melibatkan guru-guru dan pensyarah/pengajar/(...). Alangkah meriahnya nanti. Apapun, kepada semua guru, Selamat Menyambut Hari Guru; dan untuk para Pensyarah/Pengajar/(...), penulis juga diucapkan Selamat Menyambut Hari "Guru" - kalau telinga anda selesa mendengarkannya!

Sensitiviti Muslim

Beberapa hari lepas, ketika penulis menunggu anak balik dari sekolahnya, penulis telah meletak kenderaan di belakang sebuah kenderaan lain. Sambil-sambil menunggu anak, mata penulis melilau melihat kereta di hadapan itu. Penulis terpandang sesuatu yang sungguh cantik. Namun bila diamat-amati lagi, rupanya ia adalah sarung kotak tisu berimejkan Snoopy. Tiba-tiba keluarlah empunya pemandu kereta itu, seorang wanita Muslim (di mana beliau memakai pakaian yang menutup aurat yang lengkap bertudung). Timbul persoalan kepada penulis, bagaimanakah seorang Muslim dapat meletakkan Snoopy dalam keretanya? Penulis tidak pula mengetahui apa hukumnya (akan penulis semak dengan rakan Ustaz kelak), tetapi Snoopy (a.k.a Anak Anjing) adalah merupakan binatang yang setaraf dengan babi/khinzir. Dengan meletakkan Snoopy dalam kenderaannya, sudah tentulah anak-anak akan melihat, memegang, dan bermain-main dengannya. Pada hemat penulis, tindakan beliau ini secara tidak langsung akan dapat mengikis sensitiviti anak-anaknya untuk menjaga maruah dan martabat Islam dalam hidup mereka. Contoh ini adalah sesuatu yang tidak menghairankanlah, apatah lagi kerana hari ini ada ibu-bapa Muslim yang tidak kisah untuk membelikan topi Santa Claus untuk anak-anaknya sempena cuti Krismas (liberal katanya), atau ibu bapa yang bangga lagi memakaikan anak-anaknya dengan baju/seluar yang berlatarkan imej Amerika - sekutu Zionis (bebas katanya). Inilah sentisitiviti kita, orang Muslim hari ini. Tanpa sensitiviti yang tinggi terhadap agamanya, tentulah Muslim akan dipandang rendah, dan diperleceh-lecehkan oleh musuh-musuh Islam.

Barisan Najib

YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Presiden UMNO telahpun mengumumkan barisan kepimpinan tertinggi UMNO, atau lebih dikenali Majlis Tertinggi. Beliau telah membuat beberapa kejutan. Semua Naib Presiden UMNO telah dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO di beberapa buah negeri. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerajui Pulau Pinang; Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn memimpin Terengganu; dan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal pula memimpin Kedah. Perlantikan ini jelas menunjukkan bahawa sesuatu sedang berlaku dalam UMNO negeri-negeri terbabit. Pulau Pinang sebelum ini diterajui oleh bekas Presiden UMNO, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Melantik semula Tun Abdullah untuk menerajui UMNO negeri bukanlah sesuatu yang bijak. Ini kerana tentunya ada beberapa keputusan baru oleh Mohd Najib yang tidak sebagaimana dihajati oleh Tun Abdullah. Lebih baik dilantik orangnya sendiri agar tiada percanggahan kelak. Terengganu, nampak sahaja tenang, tetapi bergelora di dalamnya. Pertelagahan politik antara kelompok Menteri Besar YAB Dato Ahmad Said dan bekas Menteri Besar, Datuk Idris Jusoh bukanlah sesuatu yg boleh disembunyikan lagi. Ia telah bermula seawal perlantikan Menteri Besar Terengganu, iaitu sejurus kemenangan tipis Barisan Nasional di Terengganu. Kemelut itu rupanya telah berlanjutan sehinggalah kini. Di Kedah pula, kegagalan Datuk Seri Mahadzir Khalid mempertahankan Kedah belehlah disifatkan sebagai "pukulan maut" kepada kedudukan beliau selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri. Justeru, perlantikan Mohd Shafie dapat dilihat sebagai suatu usaha mengembalikan penguasaan UMNO di Kedah khususnya menerusi pilihanraya yang akan datang. Satu lagi kejutan ialah, kekalnya YAB Dato' Abdul Ghani Othman iaitu masih sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Johor. Abdul Ghani adalah antara pemimpin kategori lama/veteren. Beberapa hari sebelum pengumuman oleh Mohd Najib, penulis bersama beberapa orang rakan asyik membincangkan siapakah yang bakal menerajui UMNO Johor. Antara nama-nama yang penulis bincangkan ialah Adham Baba, Ahmad Zahri Jamil, Aziz Sapian dan beberapa nama lain. Namun, segalanya meleset. UMNO Johor masih tidak berubah. Bagi penulis, ada suatu faktor luarbiasa yang mempengaruhi kedudukan Abdul Ghani. Mengapakah Abdul Ghani masih kekal? Memang diakui bahawa Johor adalah benteng UMNO terkuat, tetapi adakah itu satu-satunya sebab-musabab beliau masih kekal? UMNO Johor sendiri tentunya lebih arif dan maklum akan situasi ini. Itulah "keluarbiasaan" Johor! Bak kata pepatah, hanya jauhari yang mengenal manikam!

Kalah Berjuang

Penulis bukanlah seorang peminat fanatik bolasepak. Tetapi perlawanan akhir Piala FA Malaysia semalam telah menarik minat penulis untuk duduk menghadap kaca tv menonton. Biasanya situasi pelik ini hanya akan berlaku apabila ada perlawanan-perlawanan yang melibatkan pasukan gergasi English Premier League (EPL); misalnya Manchester United, Chelsea, Liverpool atau pun Arsenal (maaf, ini bukan "kredit percuma" kepada fanatik mereka). Mungkin ia disebabkan oleh pasukan Kelantan yang bermain dalam perlawanan itu. Penulis yang tinggal lama (membesar) di Kelantan tentunya merasa sedikit teruja dengan perlawanan tersebut. Sebenarnya, penulis tidaklah begitu arif dengan senarai pemain Kelantan, begitu juga Selangor. Tetapi lazimnya, pertembungan dua pasukan dalam suatu perlawanan akhir tentunya menjanjikan sesuatu yang menarik. Usah kita membandingkan perlawanan itu dengan mana-mana perlawanan dalam EPL; penulis berpendapat bahawa perlawanan akhir itu menarik. Kedua-dua pasukan agak sama kuat. Namun nasib tidak menyebelahi Kelantan. Kalah dengan keputusan agregat 4-1 sepakan penalti. Kekalahan ini bukanlah sesuatu yang memalukan. Kekalahan ini adalah kekalahan bermaruah. Ia berlaku setelah mereka berjuang berhabisan-habisan. Perlawanan itu mengingatkan penulis kepada suatu peristiwa; ketika itu penulis adalah pendebat kedua dalam pasukan debat universiti di mana penulis belajar suatu masa dahulu. Ketika pasukan kami diumumkan berjaya menewaskan pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada peringkat Separuh Akhir, tiba-tiba ketua pasukan kami berkata, "Akhirnya kita dah masuk final. UiTM tu kuat, kalau kita kalah pun takpe nanti!". Tanpa berlengah, penulis terus melahirkan ketidakpuasan hati kepada beliau - nyaris berlaku pergaduhan intelek! Begitu juga dengan ahli-ahli pasukan kami yang lain. Mengalah sebelum berjuang bukanlah sesuatu yang baik dan positif. Dipendekkan cerita, pasukan kami betul-betul tewas kepada pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada peringkat Akhir! Sehingga sekarang (mungkin sampai bila-bila kot), penulis dan seluruh ahli pasukan kami tetap percaya bahawa punca kami tewas adalah kerana "cabulnya mulut" pendebat pertama kami itu yang mengaku kalah sebelum berjuang!

Khairy Keciciran

Lantaran kesibukan tugas-tugas rasmi dan bukan rasmi, maka aktiviti mengemaskini blog sedikit terganggu. Memandangkan kedua-dua kategori tugas sangat perlu diutamakan, maka hobi berblog ini terpaksa diketepikan terlebih dahulu. Kali ini, penulis ingin mengulas berkaitan dengan kedudukan YB Khairy Jamaluddin dalam kabinet baru YAB Datuk Seri Mohd Najib. Adalah menjadi kelaziman kepada ketua-ketua sayap parti UMNO untuk diberikan jawatan dalam kabinet kerajaan. Itulah kelazimannya. Namun, YAB Datuk Seri Najib dilihat sungguh berbeza. Beliau menidakkan kelaziman. YB Khairy tidakpun tersenarai dalam kabinet tersebut. Ketika pengumuman senarai kabinet tersebut, penulis dan rakan-rakan sedang menikmati minum petang di sebuah warung. Pada pandangan penulis, nama YB Khairy telah tercicir mungkin disebabkan oleh beberapa sebab. Sejauh kebenaran pandangan ini, hanya Tuhan yang tahu. YB Khairy adalah menantu kepada YABhg Tun Abdullah, mantan Perdana Menteri, sekaligus mantan ketua YAB Datuk Seri Najib. Adalah bukan lagi menjadi keperluan kepada Perdana Menteri yang baru untuk melantik sesiapapun suku-sakat atau saudara-mara dari kalangan mantan ketuanya. Tambahan pula, tiada apa yang boleh diperkatakan oleh mantan ketuanya kepada beliau. Mungkin dari satu aspek, YAB Datuk Seri Najib dilihat sebagai kurang hormatnya kepada Tun Abdullah, tapi tiada sesiapa boleh mengubah keadaan ini. Kedua, idea untuk membersihkan parti telah mula dilaksanakan dalam parti. Mengikut pernyataan Lembaga Disiplin UMNO, YB Khairy telah disabitkan dengan tuduhan terlibat dengan politik wang, walau bagaimanapun, beliau dibenarkan bertanding (berbeza dengan YB Datuk Ali Rustam, yang disabitkan dengan tuduhan hampir serupa, tetapi dilarang bertanding). Justeru apabila YB Khairy dipilih menerajui sayap Pemuda, beliau masih tidak terpilih ke kabinet. Mesej jelas kepada seluruh ahli UMNO adalah, mana-mana ahli yang disabitkan dengan mana-mana tuduhan berkaitan moral, maka tertutuplah peluang untuk menjawat apa jua jawatan dalam Kabinet. Lagi pula, berapa sangatlah sokongan yang ada untuk YB Khairy dalam Pemuda, yang mana sebahagiannya masih menyokong YB Datuk Mukhriz atau YB Datuk Seri Mohd Khir. Kiraan mudahnya, hanya sekitar 35% sahaja sokongan kepada YB Khairy. Apa yang lebih menarik, Naib Ketua sayap Pemuda, Datuk Razali telah terpilih sebagai Timbalan Menteri. Tambah mengejutkan lagi ialah apabila Datuk Mukhriz, rakan "sepasukan" Datuk Razali semasa pemilihan parti yang lepas (merangkap pencabar utama YB Khairy yang tewas); pula telah dilantik sebagai Timbalan Menteri! Inilah isyarat jelas kepada ahli-ahli bahawa YB Khairy sebenarnya bukanlah salah seorang saf kepimpinan yang dikehendaki oleh Presiden parti. Kepada penyokong-penyokong YB Khairy, terimalah hakikat ini seadanya. Bak kata suatu iklan, "Zaman dah berubah...". Mungkin, perwakilan Pemuda yang membuang undi, terkeliru dalam mentafsir, apakah kehendak Presiden? Sebelum kami beredar meninggalkan warung petang itu, salah seorang sahabat berkata, "Najib memang brutal!". [Pandangan ini dinyatakan sebagai suatu persepsi terhadap suatu parti, bukan pro, bukan kontra]

Bukit Dan Batang

Pilihanraya Kecil P059 Bukit Gantang, N25 Bukit Selambau dan N29 Batang Ai telahpun selamat dilaksanakan. Bukit Gantang dan Bukit Selambau telah berjaya dipertahankan oleh pakatan pembangkang, sementara Batang Ai pula berjaya dipertahankan oleh barisan pemerintah. Ketiga-tiga pilihanraya kecil tersebut telah dijalankan serentak iaitu sebagaimana diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia. Samada ditetapkan atau ditakdirkan Tuhan, tarikh tersebut adalah beberapa hari selepas YAB Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak disahkan mengambilalih jawatan Presiden UMNO. Selain itu, barisan kepimpinan UMNO yang baru juga telah ditentukan oleh perwakilan-perwakilan yang hadir. Ada pendapat yang mengatakan bahawa keputusan yang diperolehi menerusi ketiga-tiga pilihanraya kecil tadi adalah cerminan kepada penerimaan rakyat kebanyakan terhadap barisan kepimpinan UMNO. Mungkin ada benarnya pendapat ini. Rakyat kebanyakan kini bukan lagi seperti zaman-zaman dulu. Dalam sesetengah keadaan, segala tindak-tanduk dan perancangan dapat dibaca dengan mudah. Ramai di kalangan rakyat jelata yang cerdik pandai (cekap menganalisis dan membaca strategi) dan cerdik-IT (cekap mencari dan mengedarkan maklumat dan info). Kekalahan di kedua-dua bukit telah menjadi cabaran besar kepada YAB Perdana Menteri baru, khususnya bagi menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13 nanti. Namun, sebaliknya ia menggambarkan dokongan rakyat kebanyakan yang belum berubah terhadap pakatan pembangkang iaitu sebagaimana Pilihanraya Umum Ke-12 yang lepas.

Kecil-kecil Azizul

Mohammed Azizul Hasni Awang (digelar Pocket Rocket) hanya berketinggian1.70 meter (atau 5 kaki 7 inci) dan berat badannya hanya 70kg. Ini menunjukkan bahawa beliau hanyalah seorang individu bersaiz kecil. Tetapi semangat dan keupayaannya sememangnya belum tentu dimiliki oleh individu-individu lain yang lebih "besar". Walaupun menyertai acara sukan yang bergantung kepada keupayaan fizikal, beliau adalah kedua terbaik dunia. Hebat! Apa yang berlaku kepadanya itu juga boleh berlaku kepada kita semua. Kita sering mengatakan bahawa kita mungkin tidak mampu melaksanakan suatu tugas yang diberikan. Kita mungkin berkata demikian mungkin di atas sebab tidak berkeyakinan terhadap diri sendiri (atau mungkin terlalu merendah diri). Inilah kesilapan yang sering kita lakukan. Takut untuk mencuba. "Takpelah, biarlah dia yang orang buat, kita takleh kot?", inilah antara keluhan yang sering menghantui kita. Kalaulah ini yang menjadi sandaran kepada kita, sukarlah untuk kita menjadi pencabar yang baik, dalam apa jua bidang. Kita harus berubah (meminjam kata-kata YAB Datuk Seri Mohd Najib). Hapuskan persepsi ini daripada terus membelenggu kita. Setiap peluang perlu diraih setangkas mungkin. Dalam apa jua keadaan, kita harus membuktikan bahawa kita mampu melakukannya. Marilah kita sama-sama mengambil iktibar bahawa Azizul telah melakukan sesuatu yang tidak terbayangkan oleh mana-mana pihak. Bagi beliau, "Size is doesn't matters!".