TokPa : Orang Kampung

Penulis tertarik untuk berkongsi dengan semua, siapa Mustapha Mohamed (a.k.a Tokpa). Penulisan ini adalah dari perspektif peribadi penulis sebagai orang kampung yang tinggal sekampung dengan TokPa. Beliau dilahirkan di sebuah kampung di Bachok, Kelantan. Bapa TokPa adalah iman masjid, sekaligus guru agama. Ibunya seorang guru mengaji (Al-Quran). Penulis percaya bahawa faktor ibu-bapanya inilah yang telah membentuk karektor TokPa yang sedemikian. Memadai dengan mengambil satu contoh. Lazimnya TokPa akan mengadakan rumah terbuka di rumah kampung asalnya (iaitu bukannya di kawasan parlimen yang diwakilinya) pada setiap kali Aidilfitri. Rumah ibubapanya terletak di pinggir jalan. Bila tiba waktu jamuan, beliau sendiri akan menunggu, menjemput dan mempersilakan setiap tetamu menjamu selera. Kebanyakan orang kampung (Kelantan) yang datang, hanya dengan berselipar jepun, berkain pelikat, berbaju putih tanpa kolar dan bersemutar (sejenis ikat kepala menggunakan kain batik "lepas") hadir ke jamuan tersebut. Ada di kalangan mereka datang sambil menghulur sampul surat. Sampul surat diterima sendiri oleh TokPa, sebelum dimasukkan sendiri ke dalam kotak dalam bonet keretanya yang tersedia terbuka. Tidak ada pembantu peribadi TokPa yang "menyibuk-nyibuk" membelek dulu sampul surat yang dihulur. (Semua surat itu mengandungi permohonan bantuan dan sokongan). Pernah TokPa memayungkan sendiri seorang penduduk kampung yang tiba ke jamuannya, ketika itu hujan sangat lebat. Kalau dilihat kepada TokPa sendiri pula, beliau hanya berkain pelikat, berbaju Melayu dan bersongkok sahaja. Relaks dan santai. Inilah bezanya TokPa dengan pemimpin-pemimpin lain. Itulah TokPa, seorang "orang kampung". [Catatan : TokPa mendapat undian tertinggi untuk jawatan Ahli Majlis Tertinggi melalui Perhimpunan Agung UMNO Kali ke-58]

Saf UMNO

Selesai sudah persoalan di fikiran. Inilah terjemahan oleh perwakilan UMNO pada kali ini, Keinginan membuak penulis tidak tertahan lagi. Penulis berfikir bahawa terdapat beberapa persepsi menarik berkaitan dengan keputusan tersebut. Pertama - Khairy Jamaluddin. Adakah beliau akan diterima ramai oleh Pemuda? Dalam Pemuda, terdapat sejumlah ramai penyokong Mukhriz dan Khir. Mereka semua sedang kecewa. Tentunya sokongan kepada Khairy tidak dapat direalisasikan. Khairy pasti tidak selesa dengan dokongan minoriti. Kedua - Shahrizat Abdul Jalil. Inilah kebangkitan beliau setelah dipermalukan oleh Nurul Izzah Anwar. Jelas beliau mempunyai kebijakan dalam mencongak strategi. Buktinya, Rafidah Aziz tewas mutlak. Jawatan Menteri melalui perlantikan sebagai Senator pasti akan menjadi realiti. Ketiga - Rosnah Mohd Shirlin. Kredibiliti memimpin terserlah. Namun sejauh mana kesahan keupayaan mengurus belum terbukti. Perlu merubah Puteri dari perangai keanakan kepada kedewasaan selayaknya sebagai sayap UMNO. Standard kurang lebih seharusnya sebagaimana Azalina Mohd Said. Keempat - Ahmad Zahid Hamidi. Sejarah mencatatkan bahawa beliau pernah terpinggir dari menu UMNO dek ketaatan kepada Anwar Ibrahim. Selepas jaga, tangga didaki satu persatu; bermula semula. Kalau terus mendokong Mahathir Mohamed sejurus Anwar diketepikan, tentu ceritanya berbeda. Kelima - Hishamuddin Hussein Onn. Bintang emas UMNO. Mengatur langkah penuh tertib. Tidak gopoh. Tetapi belum sempurna strateginya, kalau SKM kira baru Tahap 2. Cabaran Naib-naib Presiden dan beberapa ahli MT pasti mengusik mimpi tidur malamnya. Keenam - Mohd Shafie Afdal. Perwakilan Sabah/Sarawak memang "high performance teamwork". Beberapa calon kurang popular, undur diri, agar kemenangan satu-satunya wakil terjamin. Kalau main bola, bukan asyik berebut nak jaring gol. Yang penting, pasukan mesti menang. Dan ketujuh - Muhyiddin Mohd Yassin. Segala perlu dilakukan demi cita-cita. Usik damai yang abadi. Berstrategi bak bermain catur. Musuh selangkah di hadapan, kita mesti sepuluh langkah lagi ke hadapan. Prinsipnya mudah, dalam setiap perjuangan, pasti ada korbannya. Nah, inilah saf baru untuk Mohd Najib Abdul Razak. Ops, yang kelapan - Md Isa Sabu, Adnan Yaakob, Abdul Ghani Othman, Mohamad Hassan, dan beberapa nama besar lain. Tercicir kerusi MT adalah mesej atau simbolik oleh perwakilan. Gagal berfungsi? Atau terlebih lagak dan cara? Atau ditolak agar bersara? Hmm, tentu pedih dan perit. Namun maksudnya biarlah pada yang empunya diri. [Catatan ini akan bersambung...]

Teknologi Percuma

Terdapat pelbagai teknologi percuma disediakan di internet. Yang penting, kita perlu tahu bagaimana untuk mencarinya. Berikut adalah beberapa laman web yang menyediakan teknologi (dalam pelbagai aspek) percuma.
(a) TiltShiftMaker : Discover The World of Miniature
(b) MakeSweet : Creativity Has A Flavour
(c) LoonaPix.com
Lain-lain pautan akan dimasukkan dari semasa ke semasa. Selamat Mencuba!

20A Terbaik?

Malam tadi, siaran berita oleh sebuah stesen television swasta turut memperkatakan tentang keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2009. Yang menarik perhatian penulis ialah apabila dihebahkan Adik Nik Nur Madihah, anak seorang nelayan di negeri Kelantan telah mendapat keputusan A dalam semua 20 matapelajaran yang telah diduduki beliau. Ada dua perkara yang ingin disebutkan penulis. Pertama, nelayan di Kelantan sememangnya seorang nelayan. Penulis yakin, beliau hanya mempunyai sebuah sampan atau bot kecil. Beliau tidak mempunyai awak-awak (atau pekerja); bahkan kalau adapun hanyalah rakan senelayan yang sama-sama berkolek dengan beliau ke laut. Beliau akan keluar malam ke laut, balik dinihari. Beliau akan menjual hasil tangkapannya kepada siapa yang menunggu di jetinya. Mungkin jiran sekampung, orang yang kebetulan lalu lalang atau mungkin orang tengah. Itulah rutin hidup seorang nelayan biasa di Kelantan. Tapi, anaknya 20A! Kedua, pembaca berita yang cantik manis mengumumkan, "Beliau telah dipilih sebagai pelajar SPM 2009 terbaik bagi seluruh negeri Kelantan". Persoalannya, ada lagikah pelajar lain yang memiliki keputusan yang melebihi 20A dan mencakupi ilmu keduniaan dan keagamaan? Kalau tidak ada, sepatutnya berita tersebut dibaca sebagai, "Beliau bukan sahaja terbaik di Kelantan, beliau juga merupakan pelajar terbaik seluruh negara!". Mengapa ia tidak dinyatakan sedemikian rupa? Adakah kerana Kelantan ditabdir oleh kerajaan pembangkang; maka jika diumumkan sedemikian rupa, ia seolah-olah mengiakan bahawa sistem pendidikan di Kelantan (dunia dan akhirat) itu adalah terbaik? Sama-sama kita fikirkan.

Blog Kita

Bagaikan fenomena, blog telah menjadi pilihan utama di kalangan pengguna internet masakini. Sebelum blog diperkenalkan, ramai pengguna internet merasa kurang selesa untuk melibatkan diri. Ini kerana, tanpa pengetahuan dan kemahiran menggunakan bahasa pengaturcaraan, adalah menjadi sesuatu yang sukar untuk pengguna mengendalikan akses dan pengurusan internet. Namun, setelah blog diperkenalkan pada 1999, segalanya telah berubah. Pengguna internet tanpa pengetahuan dan kemahiran bahasa pengaturcaraan telah boleh melibatkan diri dengan internet dan aplikasinya. Blog bolehlah dianggap sebagai "template" kepada sebuah laman web. Konsepnya yang mudah dan ringkas amat sesuai untuk mana-mana kategori pengguna. Diharapkan dengan penggunaan blog-blog sedemikian ini, kita semua akan mula melihat bahawa internet bukanlah sesuatu yang asing, khususnya dalam kehidupan kita seharian. Antara beberapa platform pembangunan blog percuma ialah Blogspot, Wordpress dan lain-lain. Selain itu, bagi menyempurnakan lagi blog masing-masing, kreativiti pengguna boleh dipertingkatkan dengan menggunakan beberapa aksesori tambahan, antaranya Alhabib, AdiWidget, DaisyPath, Jentayu, dan lain-lain lagi. Selamat berblog buat semua!

Maulidul Rasul

Sambutan Maulidur Rasul telah menjadi kelaziman kepada kita semua pada setiap tahun. Sambutannya diadakan bersempena dengan suatu peristiwa penting dalam sejarah Islam, iaitu memperingati tarikh kelahiran Nabi Muhammad saw. Kelahiran dan kebangkitan Baginda sebagai Rasul akhir zaman telah membawa sinar bahagia kepada umat manusia dan rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan dan hidup bermusuhan antara satu sama lain. Sejarah telah mencatatkan betapa kehidupan Baginda khususnya dalam melaksanakan tanggungjawabnya menyebarkan dakwah Islam yang mulia ini, Baginda telah dikeji, dihina, diugut, dibaling dengan batu sehingga berdarah, dipulau kaum keluarganya. Namun untuk meninggalkan amanah Allah ini tidak sekali-kali terlintas di dalam jiwa Baginda. Kita hendaklah sama-sama mentaatinya, dengan erti kata melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala tegahannya. Mudah-mudahan kita akan beroleh kecemerlangan dan kegemilangan hidup di dunia dan di akhirat. Allah swt ada berfirman, “Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka ambillah akan ia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab siksanya (bagi orang-orang yang melanggar perintahnya)” (al-Hasyr : 7). Justeru, bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun, marilah kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan Baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat. Sebagai seorang pemimpin agong, Baginda mempunyai pandangan jauh dan akal fikiran yang tajam serta semangat juang yang tinggi, kekuatan rohani yang mendalam, tabah dan keberanian menempuh berbagai cabaran dan dugaan yang perlu kita contohi, sama ada di waktu penghijrahannya dari kota Makkah ke kota Madinah atau selepasnya. Oleh yang demikian, umat Islam pada hari ini hendaklah bangun membina kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan akal dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh Baginda dalam menyebar luas syiar Islam. Ini kerana setiap umat Islam pada hari ini adalah bertanggungjawab meninggikan dan mempertahankan agama Allah. Di antara ciri-ciri dan sikap terpuji Baginda yang perlu dicontohi ialah; (i) sebagai ketua yang mulia dan bertanggungjawab, (ii) sebagai pemimpin yang bijaksana, dan (iii) sebagai manusia dengan akhlak yang terpuji. Kepada seluruh umat Islam, penulis mengucapkan, "Selamat Menyambut Maulidur Rasul"!

Suatu Perubahan

Sememangnya telah menjadi lumrah kepada manusia untuk berubah... [penulisan artikel ini masih dalam pembikinan!]. Demikian jugalah dengan laman blog ini. Rekaan kepala blog (blog header) yang asal adalah sebagaimana berikut;

Kemudiannya, rekaan yang kedua telah ditampilkan iaitu;
Sehinggalah penulis menggunakan rekaan sebagaimana kini. Pada hemat penulis, kita perlu berubah demi sesuatu yang lebih baik!

Lagi-lagi Buli

Minggu lepas, kita telah dikejutkan sekali lagi dengan insiden buli di sekolah. Ia ekoran tersebarnya klip rakaman video bagaimana seorang pelajar telah dibuli di asrama mereka. Penulis ingin menarik perhatian semua, mengapa isu buli di kalangan pelajar sekolah seolah-olah seperti tiada penghujungnya. Buli ditakrifkan sebagai perbuatan mengasari orang yang lebih lemah dengan tujuan untuk menunjukkan kekuatan masing-masing. Ini secara tidak langsung, menjadikan mereka yang lemah mematuhi atau menghormati mereka yang lebih kuat. Penulis berpendapat bahawa insiden buli terus berlaku kerana pelajar tidak lagi menghormati guru. Pada masa lalu, guru diangkat sebagai individu berkuasa mutlak dalam membentuk sahsiah dan keperibadian pelajar. Guru adalah ibu dan bapa kepada pelajar. Guru mempunyai kuasa penuh untuk menghukum mana-mana pelajar yang didapati melanggar peraturan sekolah. Ibu bapa akan akur bagi setiap hukuman yang diberikan, bahkan ada di kalangan ibu bapa yang akan “menambah hukuman di rumah” lantaran sikap anak yang telah memalukan mereka di khalayak guru. Namun kini, ia tidak berlaku lagi. Guru mempunyai kuasa yang yang amat terbatas khususnya dalam memberikan hukuman kepada pelajarnya. Hukuman merotan misalnya, hanya boleh dilaksanakan oleh guru disiplin sahaja. Tahun lepas, seorang guru telah disaman oleh ibu bapa pelajar hanya kerana guru itu telah memukul jari tangan pelajar terbabit dengan pembaris, iaitu selepas sesi pemeriksaan kebersihan diri. Fenomena ini hanya akan mendorong pelajar menjadi semakin angkuh dan bongkak terhadap guru. Di tambah pula dengan respon Kementerian Pelajaran Malaysia yang sering melebih-lebihkan pelajar dan ibu bapa berbanding dengan guru. Sepatutnya, kuasa guru dikembalikan semula dengan dokongan oleh pihak kementerian. Penulis percaya, selagi hal ini tidak dirubah, masalah buli di kalangan pelajar sekolah tidak akan berpenghujung. Sementara itu, bagi menangani insiden buli daripada terus berlaku, institusi sekolah juga hendaklah mempertingkatkan kualiti sahsiah dan keperibadian pelajar-pelajar. Penekanan yang jelas terhadap aspek sivik dan moral kehidupan hendaklah menjadi salah satu teras dalam struktur akademik di sekolah seawal pra-sekolah lagi. Jika diperhatikan, aspek-aspek tersebut hanya menjadi pelengkap kepada sistem pembelajaran sedia ada. Ini sekaligus memberikan gambaran bahawa ia bukanlah sesuatu yang penting terhadap pelajar. Selain itu, penekanan aspek-aspek tersebut juga perlu dilaksanakan semasa di rumah. Ibu bapa harus menekankan pemahaman bahawa guru adalah salah seorang penentu tahap sahsiah dan keperibadian seseorang pelajar. Apabila berlaku insiden berkaitan disiplin misalnya, ibu bapa harus membuat siasatan terperinci perihal anak-anak sebelum memberikan respon. Jika didapati benar anak-anak telah melanggar peraturan dan disiplin, ibu bapa haruslah menerima hukuman yang dijatuhkan kepada anak-anak dengan hati terbuka. Beri penjelasan kepada mereka betapa peraturan dan disiplin yang ditetapkan adalah bertujuan untuk membina sahsiah dan keperibadian mereka. Memang diakui bahawa usaha ini pasti akan memakan masa. Pihak KPM hendaklah bersedia untuk mengembalikan kuasa guru sekaligus meningkatkan kekebalan guru sebagai pelaksana peraturan dan disiplin pelajar. Dengan penghormatan terhadap guru dapat diletakkan di tempat yang sewajarnya, tentulah insiden-insiden disiplin seperti buli dapat dielakkan daripada terus berlaku.

Nasib Raja Buah

Hari ini, LembagaPemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah melahirkan rasa kebimbangan mereka terhadap kurangnya minat orang ramai terhadap buah durian. Rasa, bau dan tentunya tekstur fizikal isinya cukup unik - sehinggakan pernah terpilih sebagai salah satu cabaran makanan dalam sebuah rancangan realiti - Fear Factor; namun entah di mana silapnya, gahnya durian selaku raja segala buah tidak mampu menarik minat orang ramai untuk terus menikmatinya. Kebimbangan ini amat ketara sehingga FAMA telah menampilkan idea baru yang lebih kreatif untuk memasarkan buah durian, antaranya ialah memprosesnya menjadi kerepek, jus dan seumpamanya. Persoalannya, mengapa ia kurang diminati? Penulis merasa bahawa ia kurang diminati kerana harganya. Bayangkan bagaimana orang ramai yang dilanda kemelesetan ekonomi sebagaimana sekarang terpaksa membayar sekitar RM5 hingga RM10 per kilo bagi mendapatkan buah durian. Kalau yang ditimbang itu adalah ulas-ulasnya sahaja (walaupun termasuk bijinya yang tidak boleh dimakan), rasanya kita masih sanggup membayar. Tetapi jika yang ditimbang itu termasuk kulit berdurinya, rasanya banyak kali kita perlu fikirkan. Penulis sendiri merasa tidak berbaloi untuk membayar sejumlah wang yang agak banyak membeli sebiji durian dengan harga mencecah RM20 sebiji. Tentu ramai lagi orang ramai yang bersependapat dengan penulis. Penulis hanya sanggup membeli jika harga ditetapkan mengikut bilangannya, dan bukannya berat timbangan. Justeru, memang wajarlah jika FAMA mengesyorkan beberapa kaedah alternatif untuk memasarkan buah durian.