Maulidul Rasul

Sambutan Maulidur Rasul telah menjadi kelaziman kepada kita semua pada setiap tahun. Sambutannya diadakan bersempena dengan suatu peristiwa penting dalam sejarah Islam, iaitu memperingati tarikh kelahiran Nabi Muhammad saw. Kelahiran dan kebangkitan Baginda sebagai Rasul akhir zaman telah membawa sinar bahagia kepada umat manusia dan rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan dan hidup bermusuhan antara satu sama lain. Sejarah telah mencatatkan betapa kehidupan Baginda khususnya dalam melaksanakan tanggungjawabnya menyebarkan dakwah Islam yang mulia ini, Baginda telah dikeji, dihina, diugut, dibaling dengan batu sehingga berdarah, dipulau kaum keluarganya. Namun untuk meninggalkan amanah Allah ini tidak sekali-kali terlintas di dalam jiwa Baginda. Kita hendaklah sama-sama mentaatinya, dengan erti kata melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala tegahannya. Mudah-mudahan kita akan beroleh kecemerlangan dan kegemilangan hidup di dunia dan di akhirat. Allah swt ada berfirman, “Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka ambillah akan ia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab siksanya (bagi orang-orang yang melanggar perintahnya)” (al-Hasyr : 7). Justeru, bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun, marilah kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan Baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat. Sebagai seorang pemimpin agong, Baginda mempunyai pandangan jauh dan akal fikiran yang tajam serta semangat juang yang tinggi, kekuatan rohani yang mendalam, tabah dan keberanian menempuh berbagai cabaran dan dugaan yang perlu kita contohi, sama ada di waktu penghijrahannya dari kota Makkah ke kota Madinah atau selepasnya. Oleh yang demikian, umat Islam pada hari ini hendaklah bangun membina kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan akal dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh Baginda dalam menyebar luas syiar Islam. Ini kerana setiap umat Islam pada hari ini adalah bertanggungjawab meninggikan dan mempertahankan agama Allah. Di antara ciri-ciri dan sikap terpuji Baginda yang perlu dicontohi ialah; (i) sebagai ketua yang mulia dan bertanggungjawab, (ii) sebagai pemimpin yang bijaksana, dan (iii) sebagai manusia dengan akhlak yang terpuji. Kepada seluruh umat Islam, penulis mengucapkan, "Selamat Menyambut Maulidur Rasul"!

No comments: