Lagi-lagi Buli

Minggu lepas, kita telah dikejutkan sekali lagi dengan insiden buli di sekolah. Ia ekoran tersebarnya klip rakaman video bagaimana seorang pelajar telah dibuli di asrama mereka. Penulis ingin menarik perhatian semua, mengapa isu buli di kalangan pelajar sekolah seolah-olah seperti tiada penghujungnya. Buli ditakrifkan sebagai perbuatan mengasari orang yang lebih lemah dengan tujuan untuk menunjukkan kekuatan masing-masing. Ini secara tidak langsung, menjadikan mereka yang lemah mematuhi atau menghormati mereka yang lebih kuat. Penulis berpendapat bahawa insiden buli terus berlaku kerana pelajar tidak lagi menghormati guru. Pada masa lalu, guru diangkat sebagai individu berkuasa mutlak dalam membentuk sahsiah dan keperibadian pelajar. Guru adalah ibu dan bapa kepada pelajar. Guru mempunyai kuasa penuh untuk menghukum mana-mana pelajar yang didapati melanggar peraturan sekolah. Ibu bapa akan akur bagi setiap hukuman yang diberikan, bahkan ada di kalangan ibu bapa yang akan “menambah hukuman di rumah” lantaran sikap anak yang telah memalukan mereka di khalayak guru. Namun kini, ia tidak berlaku lagi. Guru mempunyai kuasa yang yang amat terbatas khususnya dalam memberikan hukuman kepada pelajarnya. Hukuman merotan misalnya, hanya boleh dilaksanakan oleh guru disiplin sahaja. Tahun lepas, seorang guru telah disaman oleh ibu bapa pelajar hanya kerana guru itu telah memukul jari tangan pelajar terbabit dengan pembaris, iaitu selepas sesi pemeriksaan kebersihan diri. Fenomena ini hanya akan mendorong pelajar menjadi semakin angkuh dan bongkak terhadap guru. Di tambah pula dengan respon Kementerian Pelajaran Malaysia yang sering melebih-lebihkan pelajar dan ibu bapa berbanding dengan guru. Sepatutnya, kuasa guru dikembalikan semula dengan dokongan oleh pihak kementerian. Penulis percaya, selagi hal ini tidak dirubah, masalah buli di kalangan pelajar sekolah tidak akan berpenghujung. Sementara itu, bagi menangani insiden buli daripada terus berlaku, institusi sekolah juga hendaklah mempertingkatkan kualiti sahsiah dan keperibadian pelajar-pelajar. Penekanan yang jelas terhadap aspek sivik dan moral kehidupan hendaklah menjadi salah satu teras dalam struktur akademik di sekolah seawal pra-sekolah lagi. Jika diperhatikan, aspek-aspek tersebut hanya menjadi pelengkap kepada sistem pembelajaran sedia ada. Ini sekaligus memberikan gambaran bahawa ia bukanlah sesuatu yang penting terhadap pelajar. Selain itu, penekanan aspek-aspek tersebut juga perlu dilaksanakan semasa di rumah. Ibu bapa harus menekankan pemahaman bahawa guru adalah salah seorang penentu tahap sahsiah dan keperibadian seseorang pelajar. Apabila berlaku insiden berkaitan disiplin misalnya, ibu bapa harus membuat siasatan terperinci perihal anak-anak sebelum memberikan respon. Jika didapati benar anak-anak telah melanggar peraturan dan disiplin, ibu bapa haruslah menerima hukuman yang dijatuhkan kepada anak-anak dengan hati terbuka. Beri penjelasan kepada mereka betapa peraturan dan disiplin yang ditetapkan adalah bertujuan untuk membina sahsiah dan keperibadian mereka. Memang diakui bahawa usaha ini pasti akan memakan masa. Pihak KPM hendaklah bersedia untuk mengembalikan kuasa guru sekaligus meningkatkan kekebalan guru sebagai pelaksana peraturan dan disiplin pelajar. Dengan penghormatan terhadap guru dapat diletakkan di tempat yang sewajarnya, tentulah insiden-insiden disiplin seperti buli dapat dielakkan daripada terus berlaku.

1 comment:

artakus said...

mcm kenal je gambar budak tuh! hehehehe