20A Terbaik?

Malam tadi, siaran berita oleh sebuah stesen television swasta turut memperkatakan tentang keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2009. Yang menarik perhatian penulis ialah apabila dihebahkan Adik Nik Nur Madihah, anak seorang nelayan di negeri Kelantan telah mendapat keputusan A dalam semua 20 matapelajaran yang telah diduduki beliau. Ada dua perkara yang ingin disebutkan penulis. Pertama, nelayan di Kelantan sememangnya seorang nelayan. Penulis yakin, beliau hanya mempunyai sebuah sampan atau bot kecil. Beliau tidak mempunyai awak-awak (atau pekerja); bahkan kalau adapun hanyalah rakan senelayan yang sama-sama berkolek dengan beliau ke laut. Beliau akan keluar malam ke laut, balik dinihari. Beliau akan menjual hasil tangkapannya kepada siapa yang menunggu di jetinya. Mungkin jiran sekampung, orang yang kebetulan lalu lalang atau mungkin orang tengah. Itulah rutin hidup seorang nelayan biasa di Kelantan. Tapi, anaknya 20A! Kedua, pembaca berita yang cantik manis mengumumkan, "Beliau telah dipilih sebagai pelajar SPM 2009 terbaik bagi seluruh negeri Kelantan". Persoalannya, ada lagikah pelajar lain yang memiliki keputusan yang melebihi 20A dan mencakupi ilmu keduniaan dan keagamaan? Kalau tidak ada, sepatutnya berita tersebut dibaca sebagai, "Beliau bukan sahaja terbaik di Kelantan, beliau juga merupakan pelajar terbaik seluruh negara!". Mengapa ia tidak dinyatakan sedemikian rupa? Adakah kerana Kelantan ditabdir oleh kerajaan pembangkang; maka jika diumumkan sedemikian rupa, ia seolah-olah mengiakan bahawa sistem pendidikan di Kelantan (dunia dan akhirat) itu adalah terbaik? Sama-sama kita fikirkan.

No comments: