Saf UMNO

Selesai sudah persoalan di fikiran. Inilah terjemahan oleh perwakilan UMNO pada kali ini, Keinginan membuak penulis tidak tertahan lagi. Penulis berfikir bahawa terdapat beberapa persepsi menarik berkaitan dengan keputusan tersebut. Pertama - Khairy Jamaluddin. Adakah beliau akan diterima ramai oleh Pemuda? Dalam Pemuda, terdapat sejumlah ramai penyokong Mukhriz dan Khir. Mereka semua sedang kecewa. Tentunya sokongan kepada Khairy tidak dapat direalisasikan. Khairy pasti tidak selesa dengan dokongan minoriti. Kedua - Shahrizat Abdul Jalil. Inilah kebangkitan beliau setelah dipermalukan oleh Nurul Izzah Anwar. Jelas beliau mempunyai kebijakan dalam mencongak strategi. Buktinya, Rafidah Aziz tewas mutlak. Jawatan Menteri melalui perlantikan sebagai Senator pasti akan menjadi realiti. Ketiga - Rosnah Mohd Shirlin. Kredibiliti memimpin terserlah. Namun sejauh mana kesahan keupayaan mengurus belum terbukti. Perlu merubah Puteri dari perangai keanakan kepada kedewasaan selayaknya sebagai sayap UMNO. Standard kurang lebih seharusnya sebagaimana Azalina Mohd Said. Keempat - Ahmad Zahid Hamidi. Sejarah mencatatkan bahawa beliau pernah terpinggir dari menu UMNO dek ketaatan kepada Anwar Ibrahim. Selepas jaga, tangga didaki satu persatu; bermula semula. Kalau terus mendokong Mahathir Mohamed sejurus Anwar diketepikan, tentu ceritanya berbeda. Kelima - Hishamuddin Hussein Onn. Bintang emas UMNO. Mengatur langkah penuh tertib. Tidak gopoh. Tetapi belum sempurna strateginya, kalau SKM kira baru Tahap 2. Cabaran Naib-naib Presiden dan beberapa ahli MT pasti mengusik mimpi tidur malamnya. Keenam - Mohd Shafie Afdal. Perwakilan Sabah/Sarawak memang "high performance teamwork". Beberapa calon kurang popular, undur diri, agar kemenangan satu-satunya wakil terjamin. Kalau main bola, bukan asyik berebut nak jaring gol. Yang penting, pasukan mesti menang. Dan ketujuh - Muhyiddin Mohd Yassin. Segala perlu dilakukan demi cita-cita. Usik damai yang abadi. Berstrategi bak bermain catur. Musuh selangkah di hadapan, kita mesti sepuluh langkah lagi ke hadapan. Prinsipnya mudah, dalam setiap perjuangan, pasti ada korbannya. Nah, inilah saf baru untuk Mohd Najib Abdul Razak. Ops, yang kelapan - Md Isa Sabu, Adnan Yaakob, Abdul Ghani Othman, Mohamad Hassan, dan beberapa nama besar lain. Tercicir kerusi MT adalah mesej atau simbolik oleh perwakilan. Gagal berfungsi? Atau terlebih lagak dan cara? Atau ditolak agar bersara? Hmm, tentu pedih dan perit. Namun maksudnya biarlah pada yang empunya diri. [Catatan ini akan bersambung...]

No comments: